ULASAN SUKAN | Nampaknya peminat Arsenal sudah boleh tersenyum lebar. Isyarat kian jelas petanda menunjukkan musim ini musim The Gunners menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Para pendukung Arsenal sudah boleh pergi ke pejabat dengan senyuman lebar dan berjalan pun ala-ala samseng dalam filem KL Gangster.
Lawak Arsenal ‘membotol’ semakin tidak kedengaran. Arsenal sedang mendahului liga dengan kelebihan lima mata berbanding Manchester City. Walaupun Man City memiliki kelebihan satu perlawanan, kelab itu akan ketinggalan dua mata jika pun mereka menang nanti,
Kedudukan sekarang ialah Arsenal memiliki 76 mata dengan berbaki tiga perlawanan, manakala Man City 71 mata dengan baki empat perlawanan.
Di atas kertas, kelebihan berada di pihak Arsenal kerana lawan-lawan mereka selepas ini hanyalah pasukan yang boleh diuruskan dengan mudah.
Cabaran The Gunners selepas ini ialah pada 10 Mei apabila mereka melayan pasukan yang sedang bergelut untuk kekal dalam EPL iaitu West Ham.
The Hammers sedang berada di kedudukan ke-18 liga dan hampir pasti menggelongsor ke liga lapis bawah.
Jika Arsenal kalah kepada West Ham pula, memang amat malang kerana mereka terlepas peluang untuk menggembirakan penyokong-penyokongnya.
Kali terakhir Arsenal menjuarai EPL ialah pada musim 2003-2004 iaitu kira-kira 22 tahun lalu. Skuad bimbingan Arsene Wenger itu mencipta sejarah sebagai The Invincibles selepas menamatkan kempen liga tanpa sebarang kekalahan, iaitu menang 26 kali dan seri 12 kali. Memang hebat.
Pada musim tersebut juga mereka mempunyai barisan pemain bintang seperti Jens Lehmann selaku penjaga gawang, Ashley Cole, Sol Campbell, Kolo Touré, Lauren, Patrick Vieira, Gilberto Silva, Robert Pirès, Freddie Ljungberg, Thierry Henry, dan Dennis Bergkamp.
Hakikat di atas kertas
Henry sendiri begitu cemerlang. Dia bagaikan mesin pencetak gol yang tidak menghampakan setiap kali bola di kakinya dan berada di kawasan lawan.
Dengan Lehman menjadi benteng terakhir, bahagian tengah pula dikemudi oleh Vieira dan serangan diuruskan oleh Henry dan Bergkamp.
Gilberto Silva, Pires dan Ljunberg pula diketahui kerana kreatif dan rajin.
Tetapi itu dulu
Perlawanan Arsenal selepas West Ham ialah Burnley pada 19 Mei di tempat sendiri.
Burnley kini dikendali oleh pengurus sementara, Michael Jackson, yang menggantikan Scott Parker. Mereka sudahpun tersingkir ke Liga Kejuaraan memang dan tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibuktikan.
Tidak mungkin Arsenal akan kalah, setidak-tidaknya di atas kertas. Tetapi bola itu tetaplah bulat. Manalah tahu Jackson menjampi Arsenal untuk membawa tangisan kepada para penyokong mereka.

Pada 24 Mei pula Arsenal akan berkunjung ke Selhurst Park untuk berdepan Crystal Palace. Ketika ini Palace berada di tangga ke-15 liga, maka sepatutnya tidak ada masalah untuk Arsenal membaham pasukan tuan rumah.
Man City pula, mereka berhadapan dengan ujian getir selepas hanya mampu seri 3-3 dengan baru-baru ini. Pada 10 Mei Man City akan berdepan dengan Brentford di tempat sendiri.
Brentford berada di tangga ke tujuh liga dan baru sahaja membenam West Ham 3-0.
Sudah tentu Brentford ingin menaiki tangga liga dan bermain di Eropah pada musim depan. Ia menjanjikan kesukaran kepada Man City.
Lawan Man City seterusnya ialah Crystal Palace pada 14 Mei di Etihad. Ia adalah perlawanan boleh menang untuk anak buat Pep Guardiola kerana Palace memang berada dalam teruk dan berada ditangga ke-15 liga.

Kemudian pada 16 Mei, Man City akan menentang Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley. Kalau dilihat kepada permainan yang ditunjukkan oleh The Blues akhir-akhir ini, Man City tidak ada masalah untuk menang.
Ia merupakan peluang Man City untuk setidak-tidaknya memenangi piala musim ini.
Chelsea pula selepas memecat Liam Rosenior menyerahkan nasib mereka ke tangan jurulatih skuad bawah 21 tahun mereka, Calum McFarlane , sebagai pengurus interim sehingga akhir musim.
Memang prestasi Chelsea sedang tidak menentu.
Impian ke kancah Eropah
Walaupun peminat setia Chelsea, saya tidak yakin The Blues boleh mencipta kejutan kerana dalam perlawanan menentang Nottingham Forest baru-baru ini pun, mereka boleh terkulai layu 1-3 di tempat sendiri.
Bayangkan juara kelab dunia kalah dengan pasukan ditangga ke-16 liga! Lebih menyakitkan, perlawanan itu bukan sekadar sebuah kekalahan, tetapi tuan rumah diperkotak-katik di tempat sendiri.
Selepas final Piala FA, Man City akan menentang pasukan keenam liga, Bournemouth di tempat lawan.
Bournemouth juga sedang ghairah menempah tempat untuk menyertai kelompok elit yang bersaing dalam liga Eropah.
Kelab bergelar The Cherries itu sedang meningkat naik dan mengecewakan Arsenal 2-1 pada 11 April lalu.
Bournemouth boleh menjadi duri dalam daging kepada Man City. Mereka boleh menyebabkan Erling Haaland menangis di bucu katil.
Perlawanan terakhir Man City ialah menentang Aston Villa di tempat sendiri pada 24 Mei nanti. Villa pula mengalami kejutan ditewaskan Tottenham Hotspur pada 4 Mei lalu.
Apapun dalam keadaan semasa Villa akan memberikan tentangan sengit kepada Man City kerana masih menanam impian untuk ke Liga Juara-juara Eropah.
Bagi Arsenal pula, peluang sedang terbuka luas. Arsenal juga mempunyai peluang untuk memenangi Piala Liga juara-juara Erolah selepas layak ke final dengan membenam Atletico Madrid.
Sama-sama kita lihat sama ada Arsenal akan menamatkan musim ini dengan tangisan kegembiraan atau sebaliknya.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
