Paling Popular
Terkini

ULASAN | Hari ini semakin ramai orang Melayu dan Islam berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar menjadi tempat bergantung hidup.

Mereka bekerja, membina kerjaya dan membesarkan keluarga di sini. Namun apabila tiba pilihan raya, mereka pulang ke kampung untuk mengundi.

Di situlah persoalan sebenar bermula.

Jika kehidupan harian berada di bandar, mengapa hak mengundi masih ditentukan di luar bandar? Keputusan politik di bandar memberi kesan langsung kepada pekerjaan, kos sara hidup, perumahan dan masa depan.

Namun undi tetap diberikan di kawasan yang mereka sendiri tahu tidak banyak berubah dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Lebih pelik, wakil rakyat yang dipilih di kawasan pedalaman itu sendiri banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Mereka beroperasi di pusat kuasa, bukan di kawasan yang mereka wakili.

Berapa ramai ahli Parlimen dan Adun yang sebenarnya menetap di Kuala Lumpur, dengan rumah dan pejabat di sini, manakala urusan kawasan diserahkan kepada penyelaras?

Jika begitu keadaannya, apa sebenarnya yang sedang dipertahankan?

Ramai mengeluh tentang kehidupan di bandar. Kos sara hidup meningkat, peluang pemilikan aset semakin sukar, dan ada yang merasakan orang Melayu semakin terpinggir ke pinggir bandar.

Naratif ini sering diulang. Namun dalam masa yang sama, peluang untuk mengubah keadaan melalui undi di bandar tidak dimanfaatkan.

Ini bukan soal sistem. Ini soal sikap.

Jika benar ada kebimbangan tentang kedudukan orang Melayu di bandar, tindakan paling asas ialah menjadi pengundi di bandar itu sendiri. Mengundi di tempat tinggal bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab.

Apa yang berlaku hari ini menunjukkan jurang yang jelas antara keluhan dan tindakan.

Ada yang mendakwa bandar telah didominasi oleh kaum lain. Ada yang menyebut tentang segregasi, kononnya orang Melayu semakin ditolak keluar. Tuduhan ini berat. Tetapi ia kehilangan makna apabila mereka yang menyuarakannya tidak hadir di peti undi di bandar tersebut.

Jika mahu mengubah keadaan, jalannya jelas. Tambah jumlah pengundi. Letakkan calon yang mampu berdiri merentas kaum. Buktikan melalui proses demokrasi.

Bukan sekadar bercakap.

Golongan lain memahami perkara ini. Mereka mengambil pilihan raya dengan serius. Mereka keluar mengundi dan memastikan ahli keluarga turut serta.

Apabila tidak bersetuju dengan sesuatu dasar, mereka bergerak sebagai satu kelompok. Anak muda didorong untuk keluar mengundi. Mereka tidak menunggu. Mereka bertindak.

Apabila kuasa diperoleh, mereka menentukan hala tuju.

Kita pula masih bertanya.

Masih menunggu. Masih berharap orang lain menentukan arah. Lebih ironik, ada yang hanya pulang mengundi ke kampung apabila kos perjalanan ditanggung, tetapi tidak pernah menjadi pengundi di bandar yang menentukan kehidupan mereka setiap hari.

Di situlah ahli politik mengambil peluang. Mereka memahami corak ini. Selagi pengundi terus pulang ke kawasan yang kurang tekanan dan persaingan, tiada keperluan mendesak untuk berubah. Tidak perlu menawarkan dasar yang lebih baik, tidak perlu membuktikan prestasi secara konsisten. Kedudukan menjadi selesa kerana risiko untuk ditolak rendah.

Jika begitu keadaannya, sejauh mana kesungguhan itu benar-benar wujud?

Itu realitinya.

Dalam politik, suara tanpa undi tidak membawa makna. Tanpa kehadiran di peti undi, semua bantahan hanya tinggal retorik.

Jika benar mahu mempertahankan kepentingan di bandar, maka keberanian itu perlu diterjemahkan dalam tindakan. Tukar alamat mengundi. Hadir sebagai pengundi di tempat sendiri. Tentukan masa depan kawasan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan harian.

Selagi itu tidak dilakukan, dakwaan bahawa orang Melayu kehilangan bandar akan terus kekal sebagai retorik.

Hakikatnya mudah.

Bandar tidak hilang dengan sendiri. Ia dilepaskan.


MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli PKR.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS