Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa siasatan segera serta tindakan pendakwaan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab merobohkan enam rumah milik kira-kira 20 Orang Asli di Pekan, Pahang, Isnin lalu.
Presiden Peka Rajesh Nagarajan turut menuntut pampasan diberikan kepada kira-kira 20 Orang Asli suku Jakun yang terjejas, rumah yang dirobohkan dibina semula serta hak tanah adat masyarakat itu diiktiraf.
“Insiden ini bukan kesilapan pentadbiran yang terpencil.
“Ia adalah hasil yang boleh dijangka daripada sistem yang menganggap Orang Asli sebagai warga kelas kedua,” tegasnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan perobohan itu membabitkan sebuah syarikat perladangan yang memajak tanah daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) — sebuah syarikat milik kerajaan negeri — selama 30 tahun bagi membangunkan ladang kelapa sawit.
Menurut Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP), sekumpulan individu yang diiringi polis tiba di perkampungan kecil dikenali sebagai Kampung Sungai Baru sebelum mula merobohkan rumah penduduk.
Ketua Polis Daerah Pekan Zaidi Mat Zin pula menafikan dakwaan penduduk mengenai hak mereka terhadap tanah tersebut, sebaliknya berkata komuniti itu berpindah ke kawasan berkenaan ketika pandemik Covid-19.
Malaysiakini tidak menyiarkan nama syarikat perladangan terbabit sementara menunggu maklum balas perusahaan itu. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghubungi syarikat itu termasuk mengunjungi alamat berdaftarnya namun gagal.

Sementara itu, Peka turut mengkritik pihak polis dan menolak dakwaan bahawa anggota yang berada di lokasi hanya memantau keadaan.
“Kenapa polis bersubahat dan membantu syarikat memusnahkan rumah Orang Asli,” dakwa Rajesh.
Dia turut mendakwa PSK membolehkan kejadian itu berlaku apabila memajakkan tanah adat Orang Asli kepada syarikat perladangan walaupun didakwa mengetahui kawasan tersebut diduduki komuniti terbabit.
Peka juga menyifatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai gagal melindungi komuniti Orang Asli.

“Mereka membisu dan gagal bertindak sebelum, semasa dan selepas perobohan itu tidak boleh dimaafkan,” kata Rajesh.
Peguam hak asasi manusia itu turut menggesa pihak berkuasa mengadakan siasatan awam terhadap amalan pajakan tanah Orang Asli oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri selain menyiasat peranan polis dalam operasi perobohan tersebut.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PSK Sharuddin Jali memberitahu Malaysiakini pihaknya akan memanggil syarikat perladangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan.
Sharuddin berkata tanah itu dipajakkan kepada syarikat berkenaan tahun lalu dan operasi perobohan Isnin lalu dijalankan tanpa penglibatan PSK.
