Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak akan dibentang di DUN
Diterbitkan:  May 9, 2026 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada minggu depan akan melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026, perundangan penting yang bertujuan memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri menerusi pembangunan padi serta beras secara tersusun.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata RUU itu antara empat RUU yang dijadualkan dibentangkan pada persidangan yang akan berlangsung selama lapan hari bermula 11 Mei.

Beliau berkata persidangan akan bermula dengan ucapan pembukaan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Selain RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026, RUU lain yang akan diusulkan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 dan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026,” katanya.

Mohamad Asfia berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-Majlis sempena Persidangan DUN Sarawak di Kuching hari ini.

Beliau berkata RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang akan diusulkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom bertujuan menubuhkan sebuah badan berkanun untuk menyelaras, membangunkan serta memperkukuh industri padi dan beras di negeri itu.

Beliau berkata lembaga itu akan berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat untuk mengawal selia aktiviti padi dan beras termasuk perancangan pembangunan, penubuhan jawatankuasa, pelantikan pengurus besar serta pengurusan dana dan peruntukan pembiayaan.

“Tanah yang akan dibangunkan untuk padi akan ditetapkan sebagai kawasan tanah negeri supaya tiada pertikaian berhubung pemilikan tanah.

“Jadi padi dan beras, semuanya ditakrifkan (dalam RUU) termasuk padi atau beras daripada apa-apa spesies atau varieti yang terhasil daripadanya termasuk apa-apa bentuk produk padi dan produk beras,” katanya.

Mohamad Asfia berkata tujuh kawasan tanah negeri telah dikenal pasti untuk pembangunan padi di bawah rangka kerja yang dicadangkan.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 333 soalan telah diterima untuk persidangan itu, terdiri daripada 254 soalan lisan dan 79 soalan bertulis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS