Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mengenang Maria Menado si permata filem Melayu

ULASAN SENI | Tun Fatimah ori dan Tun Fatimah fiksyen – kisah tentang dua figura berbeza. Namun ranjau hidup direntasi mereka seakan-akan sama.

Tun Fatimah ori berkahwin kali kedua dengan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah, manakala Tun Fatimah fiksyen – yakni Maria Menado – pula berkahwin kali kedua dengan Sultan Pahang, Alhamrhum Sultan Abu Bakar.

Pada Sept lalu saya sempat menziarahi makam Tun Fatimah ori di Kampar, Sumatera.

Program anjuran Persatuan Warisan Melayu Melaka itu turut membawa kami ke makam suami Tun Fatimah iaitu Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir yang empayarnya diserang penjajah Portugis pada 1511.

Kakak saya, Norashikin Salleh, selaku Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Selangor, agak obses sebaik tiba di makam Tun Fatimah apabila beria-ia mengajak bergambar bersama di pusara.

Sewaktu kamera telefon bimbit anaknya, Puteri Nur Izzati Ismail, dihala ke arah kami, kakak saya meluahkan isi hatinya sambil memegang nisan Tun Fatimah.

"Baba, tengok Shikin dan Adam akhirnya dapat ziarah makam Tun Fatimah," katanya.

Adegan tragis Tun Fatimah sebelum suaminya Tun Ali (Nordin Ahmad) dihukum bunuh dalan filem Tun Fatimah

Baba ialah panggilan kami kepada bapa kami, Salleh Ghani. Saya tidak tahu apakah rahsia kakak dengan bapa saya di sebalik kata-kata tersebut

Tiga kakak dan tiga abang saya dilahirkan di Singapura ketika era kegemilangan filem klasik Melayu memuncak.

Saya sedia maklum filem Tun Fatimah ialah arahan terakhir arwah bapa kami di Cathay Keris Singapura sebelum dia berhijrah ke Malaysia dan bekerja di Studio Merdeka di Hulu Klang.

Filem itu juga lakonan pertama dan terakhir Maria bawah arahan bapa saya.

Maria juga sempat berlakon bawah arahan Haji Mahadi. Namun seperti Tun Fatimah, filem Permata Di Perlimbahan (1952) itu menjadi yang pertama dan terakhir untuknya di bawah bimbingan Haji Mahadi.

Hidup berubah sepenuhnya

Itu bermakna hanya dua pengarah filem Melayu sahaja sempat berkolaborasi dengan Maria.

Justeru aneh apabila dalam Daftar Filem Melayu (1933-1993) terbitan Finas dicatat Maria berlakon dalam filem Che Mamat Parang Tajam arahan S Roomai Noor pada 1958 lakonan, walhal di layar perak nama Salmah Ahmad adalah pelakon utama.

Sukar menidakkan bahawa majoriti pencatat sejarah akan terpempan dengan lakonan Maria dalam filem Pontianak, Dendam Pontianak dan Sumpah Pontianak.

Ketiga-tiga filem seram pertama industri filem Melayu itu diarahkan oleh BN Roa, manalala Salleh Ghani menjadi penolong pengarahnya.

Begitu juga satu lagi karya yang mendapat sentuhan lakonan hebat Maria iaitu Sultan Mahmud Mangkat Dijulang arahan KM Basker. Sekali lagi nama Salleh Ghani tercatat sebagai pencipta cerita, sari kata dan penolong pengarah.

Maria mula ditonjolkan sebagai pelakon oleh L Krishnan dalam filem Penghidupan pada 1951 namun ketika itu aktres terbabit dibayangi oleh Rokiah Jaafar.

Pun begitu bakat lakonan Maria terus digilap oleh pengarah lain seperti S Ramanathan, BN Roa, KM Basker, BS Rajhans, P Kapoor dan pengarah Filipina, Raymon Estella.

(Dari kiri) Salleh Ghani, Maria Menado, S Roomai Noor dan Umi Kalsom dalam filem Selamat Hari Raya.

Istimewa, apabila Maria menjadi Tun Fatimah di bawah arahan Salleh Ghani kehidupan pelakon itu terus berubah 180 darjah.

Asalnya dia merantau dari Manado, Sulawesi menuju ke Singapura. Daripada tiada apa-apa takdir menentukan pelakon jelita tersebut duduk di singahsana.

Sewaktu berborak-borak dengan emak, Raja Hamidah Raja Saat, saya diberitahu bahawa benih cinta Sultan Abu Bakar terhadap Maria berputik dan berkembang dengan marak sehingga baginda sanggup datang dari Pahang ke Cathay Keris di Singapura.

Di Singapura, baginda meluahkan keinginannya kepada Salleh Ghani: “Boleh tak Encik Salleh, saya nak tengok orang shooting (Tun Fatimah)?"

Ada juga permintaan Sultan Abu Bakar agar Salleh Ghani ‘adjust’ jadual penggambaran Maria supaya ada ruang untuk baginda lebih mengenali hati budi seniwati tersebut.

Tidak anggap diri hebat

Kalau diikutkan adat, seseorang sultan tidak perlulah sangat meminta izin daripada pengarah sebab sebelum kehadiran seseorang VVIP, pihak studio sudah dimaklumkan daripada segi protokol.

Namun adab menghormati pekerjaan orang itu menjadi teras Sultan Abu Bakar.

Maria sendiri – biarpun pernah berstatus permaisuri – sewaktu ditemu bual pada pertengahan 1990-an, dia tetap menyerlahkan kesantunan dan menyerlahkan ciri-ciri bangsawan.

Ketika itu Maria menetap di Seputeh. Tutur katanya lembut dan senang memberi kerjasama sewaktu sesi fotografi.

Dalam pertemuan itu saya tidak memaklum kepadanya latar keluarga saya, khususnya melibatkan Baba. Namun dia akhirnya mendapat tahu bahawa saya anak kepada Salleh kemudian.

Justeru, dalam pertemuan spontan kami di satu majlis lain, Maria segera menarik perhatian saya dengan menyebut nama Baba.

“Salleh Ghani itu pengarah dan kawan baik saya," katanya.

Dalam dunia lakonan Maria pernah bergandingan dengan beberapa pelakon lain, termasuk Baba, juga S Roomai Noor dan Umi Kalsom dalam filem Selamat Hari Raya arahan L Krishnan pada 1955.

Maria Menado ketika menerima kurniaan pingat DIMP

Biarpun Maria pernah diiktiraf Wanita Tercantik Malaya oleh majalah Time serta Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara oleh United Press International, ketika ditanya siapakah seniwati era filem klasik yang cantik pada pandangannya, pelakon itu segera menjawab: “Kasma Booty."

Maria juga jelas tidak teruja dirinya digelar superstar sepertimana katanya: "Saya tidak mahu mengaku diri saya superstar. Saya cuma aktres biasa. Ada yang lebih baik daripada saya. Cuma media saja yang gelarkan saya superstar. Saya terimanya dengan ucapan terima kasih."

Bagi Maria, glamor tidak lebih daripada sesuatu yang di kulit sahaja. Sifat merendah diri pelakon itu sering dizahirkan dengan ucapan syukur atas nikmat yang dikurniakan ke atasnya.

Maria juga pernah membayangkan, jika dia tidak disunting sultan, perusahan filem pula gulung tikar, dia tidak akan segan menjual nasi lemak atau melakukan pekerjaan lain asalkan halal demi menyara keluarganya.

Bukan sekadar kerana jelita

Pada Ogos 2019, saya mempelawa Maria dan seorang lagi pelakon lama, Salmah Ahmad, menghadiri previu filem seram romantik, Dendam Pontianak, arahan Gavin Yap dan Glen Goel.

Pihak penerbit tidak tahu bagaimana mahu menghubungi mereka, lalu pihak pengedar, Primeworks Studios melalui eksekutifnya, Nawar Deris meminta saya menjadi orang tengah.

Mendengar suara saya di telefon, Maria dan Salmah berbesar hati sudi hadir biarpun hakikatnya mereka sangat jarang keluar malam.

Saya dan Nawar menyambut mereka di hotel seterusnya ke pawagam di The Curve.

Selesai previu filem lakonan Fazura dan Remy Ishak itu, kedua-dua seniwati terbabit pula yang dikerumuni pihak media. Ada yang cuba membandingkan filem Dendam Pontianak lakonan Maria dan Salmah Ahmad pada 1957.

Lucunya kedua-dua seniwati itu sempat berseloroh dengan saya selepas itu.

“Pontianaknya mana, tak muncul-muncul pun?"

Perkahwinan pertama Maria ialah dengan dengan promoter dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad (1950-1963), sebelum ditakdirkan menjadi pasangan kepada Sultan Abu Bakar (1963 - 1974).

Suami terakhir Maria ialah perniagaan Mohd Hussain Yusof (1978 - 2000).

Melihat gambar Maria dikurnia pangkat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 1980, saya bertanyakan padanya apa dibisik Sultan Ahmad Shah tatkala itu.

"Baginda ucap – dalam bahasa Inggeris – yang baginda berterima kasih kepada saya kerana mengembirakan ayahandanya selama kami berkongsi hidup," katanya.

Dilahirkan pada Feb 1932, nama asal Maria ialah Lisbeth Dotulong. Dia menghembus nafas terakhir pada 30 April lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Dengan hilangnya satu lagi permata dalam dunia lakonan itu, ketika ini seniwati berusia lebih 90 tahun yang tinggal hanyalah Rosnani Jamil .

Kebetulan Rosnani pula heroin pertama bapa saya melalui filem Sri Mersing.

Maria tetap diingati bukan sekadar kerana kecantikannya, berkahwin dengan sultan, berlakon filem Hindi, Singapore, di samping Shammi Kapoor, malah dikenang kerana keberaniaan menjadi produser wanita pertama bersaing dengan dua gergasi, Shaw Brothers dan Cathay Keris.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS