Kerajaan pada dasarnya bersetuju menarik balik subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan tinggi, namun kajian mengenainya masih berjalan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata definisi kumpulan terlibat masih diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kelas menengah atasan.
Anwar yang juga menteri kewangan, berkata cadangan itu sedang diteliti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menerusi jawatankuasa diketuai tokoh korporat, Hassan Marican.
“Cadangan tu telah kita diteliti oleh MTEN (untuk) T20, T15 ke, memang cadangan itu telah dikaji oleh Hassan Marican dan pasukan.
“Mereka (MTEN) menelitinya dan kemudian timbul perbincangan sama ada ia membabitkan T5, T10, T15 atau T20 kerana kami tidak mahu ia memberi kesan kepada golongan kelas menengah atasan. Jadi mereka sedang teliti dan kita akan putuskan tidak lama lagi," katanya seperti dilapor.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata sayap itu akan membawa usul ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno supaya subsidi minyak ditarik balik bagi golongan T20.

Menurutnya, sistem subsidi yang lebih bersasar membolehkan kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada golongan berpendapatan rendah yang lebih memerlukan bantuan.
“Subsidi dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.
“Jadi, lebih elok ambil subsidi yang T20 ini diberikan kepada B40 dan juga M40. Sebab kalau kata 200 liter kita akan belanjakan dalam RM200 hingga RM400 itu tak terasa bagi golongan T20.Tapi kalau RM200 hingga RM400 ini sangat memberikan kesan kepada B40 dan M40,” katanya
Namun cadangan itu mendapat bantahan daripada Pemuda Pakatan Harapan, apabila ketuanya Woo Kah Leong berkata permusuhan terhadap kumpulan tertentu tidak menyelesaikan sebarang masalah.
“Setiap lapisan masyarakat, khususnya mereka yang lebih berkemampuan dari segi kewangan, tidak pernah membantah untuk membayar cukai demi pembangunan negara selama ini.
“Subsidi sememangnya perlu dikurangkan secara berperingkat dari semasa ke semasa, tetapi bukan melalui pendekatan yang memburukkan kumpulan tertentu,” tambahnya.
