Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerusi PJ bukan lagi kawasan selamat buat PH, kata MP

Seorang ahli parlimen PKR memberi amaran, parti itu mungkin berdepan dengan prestasi lebih teruk berbanding apa yang digambarkan dalam analisis dalaman – yang bocor – apabila setakat ini mereka hanya mempunyai tujuh kerusi parlimen yang dianggap “selamat”.

Malah Lee Chean Chung walaupun kawasan parlimennya – Petaling Jaya – terletak di Selangor, sangat urban, dan diletakkan dalam kategorikan Tier 1 (kuat/selamat), pada realitinya ia sudah tidak boleh dianggap terjamin lagi.

Dia turut memberi amaran PKR boleh menuju ke situasi hampir sama seperti prestasi terburuk mereka dalam PRU apabila parti itu hanya menang satu kerusi parlimen iaitu Permatang Pauh.

“Keadaan sebenarnya lebih serius. Pada 2004 kita hampir lenyap. Dalam keadaan sekarang, saya rasa kita semakin menghampiri 2004,” katanya.

Lee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata demikian dalam audio siar berbahasa Cina Malaysiakini yang disiarkan di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts pada Jumaat.

Lee mengesahkan bahawa dia juga dijemput menghadiri program dalaman parti pada 2 Mei lalu namun tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.

Dalam laporan eksklusif pada 5 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan analisis strategik dalaman PKR mengenal pasti 66 kerusi parlimen yang akan ditandingi parti itu pada PRU akan datang.

Daripada jumlah itu, hanya tujuh kerusi dikategorikan dalam Tier 1 (selamat) berbanding 13 kerusi dalam kategori Tier 2A (cenderung kuat), diikuti 17 dalam Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 di Tier 3 (sukar).

Kecewakan pendukung berkali-kali

Antara kerusi Tier 2B ialah Tambun yang disandang Perdana Menteri dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ditanya mengenai pengkategorian kerusinya sebagai kerusi selamat, Lee tidak bersetuju dan menyifatkannya sebagai tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Sama ada di lapangan atau berdasarkan maklum balas terkini, kerusi Petaling Jaya sudah tidak selamat untuk PKR.

“Petaling Jaya mempunyai pengundi bandar yang paling progresif, ramai pengundi yang boleh berubah, sederhana dan pragmatik yang mahu kita fokus kepada isu nasional dan dasar.

“Mereka mempunyai harapan tinggi dan sangat prihatin terhadap reformasi. Dalam keadaan itu, tidak sesuai untuk menganggap Petaling Jaya sebagai kerusi selamat,” katanya.

Anak kelahiran Kuantan di Pahang itu berkata secara umum pengundi PH kini berasa kecewa dengan ramai yang berpendapat kerajaan serta PKR mula mengambil mudah pada sokongan mereka.

Sejak mengambil alih kerajaan persekutuan pada 2022, katanya, PH dan PKR berulang kali mengecewakan penyokong mereka melalui tindakan yang bercanggah dengan janji reformasi.

Dia turut berpendapat, walaupun PH mengetepikan politik identiti, gabungan itu gagal mengambil pendirian tegas terhadap nilai sejagat seperti integriti dan antirasuah.

Sebagai contoh, Lee berkata ramai penyokong PH dan PKR, khususnya kelas pertengahan bandar, masih tidak berpuas hati dengan kontroversi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketuanya, Azam Baki.

Dia juga berkata siasatan terhadap bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta pembantunya James Chai dilihat mempunyai unsur tindakan balas politik.

“Ini membuatkan ramai pengundi dan penyokong rasa tidak selesa. Ia sukar dipercayai.

“Kita tidak pernah bayangkan perkara seperti ini berlaku walaupun ketika kita menjadi pembangkang.

“Kita sepatutnya mengubah dan meruntuhkan sistem seperti ini, membina sistem baru yang lebih adil dan profesional. Tetapi sekarang perkara ini berlaku kepada sahabat kita sendiri,” katanya.

Lee menegaskan bahawa asas sokongan PKR datang daripada pengundi sederhana di kawasan bandar dan separa bandar kerana parti itu membawa imej progresif, sederhana dan berbilang kaum.

Tak boleh dengan retorik

Pada masa sama ahli politk berusia 45 tahun itu memberi amaran jika parti kehilangan penyokong terasnya, kesannya akan “sangat menakutkan”.

“Menunaikan janji adalah perkara asas dan munasabah. Pengundi sokong kita kerana apa yang kita janji, bukan kerana agama, kaum atau politik identiti,” katanya.

Lee turut merujuk projek kontroversi Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) dengan berkata PH pada awalnya menentang projek itu tetapi berubah pendirian selepas menjadi kerajaan.

“Pada masa itu, saya buat kaji selidik. Isu ini bukan sekadar lebuh raya atau kesesakan lalu lintas — ia soal integriti.

“Kajian menunjukkan jika kita langgar janji, 25 peratus pengundi akan beralih sokongan. Kalau ikut PJ, itu bermaksud saya akan dapat undi lebih rendah daripada PN.

“Dan ini PJ, bukan kawasan separa luar bandar seperti Tanjung Malim atau kawasan jauh.

“Jadi pengundi memang ambil berat sama ada kita tepati janji. Walaupun tak dapat laksana sepenuhnya, adakah kita benar-benar mencuba?

“Itu yang mereka nilai. Tak boleh hanya tutup dengan retorik kosong,” katanya.

Walaupun keputusan kaji selidik itu suram, Lee berkata, secara peribadi dia tidak bimbang dan masih boleh “tidur lena” kerana prinsip politiknya jelas.

“Neraca politik saya mudah: apa pun berlaku pada masa depan, apabila saya pergi ke kopitiam, orang masih mahu duduk minum dengan saya, belanja saya minum atau biar saya belanja mereka.

“Saya dengar ramai YB (PH) sekarang tak berani pergi kedai kopi. Ada yang lebih suka jumpa di hotel — nampak semakin sama seperti mereka yang kita pernah lawan dulu.

“Saya masih suka pergi kopitiam. Saya rasa lebih selesa, dan makanannya pun lebih sedap,” katanya berseloroh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS