Beberapa kesatuan sekerja yang selari dengan gerakan Gabungan Reformasi Undang-undang Pekerja kini bergerak untuk menubuhkan sebuah persekutuan kesatuan sekerja baru susulan pembubaran sementara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini.
Menurut Gopal Kishnam Nadesan (gambar bawah) yang bergabung dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW), badan yang dicadangkan itu dikenali sebagai Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Sekerja Malaysia (MFTU) dan sudahpun menubuhkan jawatankuasa protem.
Pada kenyataan hari ini, dia berkata MFTU dijangka memenuhi semua syarat perundangan untuk pendaftaran menjelang hujung Julai, sebelum Kongres Penubuhan diadakan sebelum akhir tahun ini.
Pada 7 Mei lalu, Pendaftar Persatuan (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap MTUC selepas badan itu gagal menyerahkan beberapa dokumen serta rekod kewangan yang diminta.

Notis tersebut menyatakan MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April yang mengkehendaki penyerahan salinan penyata penerimaan dan pembayaran, kunci kira-kira beraudit bagi tahun 2020 hingga 2025, serta senarai sumbangan kewangan, aset, dana atau manfaat yang diterima daripada pihak asing dalam tempoh sama.
ROS turut memaklumkan sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh 30 hari atau rayuan MTUC ditolak, perintah pembubaran sementara itu akan dianggap muktamad dan MTUC akan diisytiharkan sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Ditubuhkan pada 1949, MTUC dianggap sebagai kesatuan kebangsaan tertua di Malaysia yang mewakili pekerja tempatan.
Mengulas tindakan ROS itu, Gopal yang juga setiausaha agung MFTU di bawah jawatankuasa protem berkata perkara berkenaan membawa implikasi serius terhadap gerakan buruh negara kerana pekerja berisiko kehilangan platform perwakilan penting.

Katanya, suara kolektif pekerja kini berdepan risiko menjadi semakin lemah dalam mekanisme tiga pihak utama serta perbincangan dasar berkaitan buruh.
“Pada saat kritikal ini, pekerja Malaysia memerlukan harapan baru - yang progresif, inklusif dan benar-benar komited mempertahankan hak serta maruah pekerja.
“Pekerja memerlukan organisasi yang berfungsi dan bebas yang mampu secara konsisten memperjuangkan hak asasi pekerja, memajukan agenda pekerjaan bermaruah, menggalakkan imbuhan adil serta memperjuangkan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat untuk semua,” tegasnya.
Dia turut berkata aspirasi MFTU untuk membina sebuah persekutuan rentas sektor yang mewakili pekerja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta didaftarkan di bawah Trade Union Act 1969.
MFTU juga bercadang memperkukuh pekerja dan kesatuan sekerja menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan kapasiti, kempen dan kerjasama berkaitan hak pekerja selain memperluaskan pendekatan kesatuan sekerja digital.
Selain menyokong penyelidikan dasar dan penerbitan, ahli jawatankuasa protem MFTU sebelum ini turut membangkitkan isu penindasan kesatuan sekerja dalam sesi perwakilan dan libat urus antarabangsa, di samping menyatakan solidariti serta kerjasama serantau terhadap perjuangan pekerja di negara lain.
“Kami menyeru kesatuan sekerja dan pekerja yang berkongsi visi gerakan buruh demokratik, progresif dan bersatu untuk bersama-sama kami dalam usaha penting ini.
“Ini adalah seruan ikhlas untuk pembaharuan dan permulaan baru bagi gerakan buruh Malaysia. Bersama-sama, marilah kita membina masa depan yang lebih kukuh, bersatu dan berpandangan jauh untuk semua pekerja di Malaysia,” tambah Gopal.
Antara kesatuan yang diwakili dalam jawatankuasa pro-tem itu ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak (SBEU), Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Kesatuan Jururawat Malaya (MNU); Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) dan Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara (EIEUNR).
Andrew Lo daripada SBEU mengetuai jawatankuasa protem MFTU sebagai presiden manakala Ikmal Azam Thanaraj daripada NUSPM dilantik sebagai timbalan presiden.
Presiden SMSU Ajulahin Japin, Timbalan Presiden SBEU Joseph Kong, Presiden MNU Saaidah Athman serta Presiden EIEUNR), Razi Rahim masing-masing dilantik sebagai naib presiden persekutuan kesatuan sekerja itu.
Mereka mewakili Sabah, Sarawak, sektor awam dan sektor swasta.
Kesatuan lain yang turut terlibat dalam MFTU mewakili pekerja dalam bidang percetakan, perkayuan, pembuatan kertas dan produk kertas serta industri perkhidmatan.
