Naib Presiden PKR R Ramanan mempertikaikan analisis dalaman parti yang melabelkan Sungai Buloh sebagai zon merah, iaitu kerusi yang kemungkinan besar akan tumbang pada pilihan raya akan datang jika tanpa campur tangan luar biasa.
Anggota parlimen Sungai Buloh itu menolak analisis berkenaan sebagai tidak tepat, dengan menyatakan saiz sampel yang digunakan tidak mencukupi untuk mewakili 180,000 pengundi di kawasan parlimen tersebut.
Menurut Ramanan, yang juga menteri sumber manusia, hanya antara 100 hingga 200 pengundi yang terlibat dalam tinjauan itu manakala status responden selebihnya tidak dapat dipastikan.
“Sesetengah pihak ada pandangan sendiri, semua orang ada pandangan tetapi bagi saya sama ada pandangan di sini (tahap) dua, tiga atau satu, kerusi kita berwarna biru, jingga, kuning, atau merah, saya tidak kisah.
“Apa-apa pun semua orang ada pendapat, ada analisis. Kalau kita lihat analisis sebelum ini, tiada siapa-siapa katakan bahawa kita boleh menang jadi kerajaan. Tiada siapa-siapa katakan pihak itu, ini akan jadi pimpinan.
“Saya tidak boleh komen bab itu sebab analisis yang dibuat itu bukan bergantung kepada 180,000 penduduk yang duduk di Sungai Buloh. Ini diambil (sampel) daripada 100 atau 200 orang, yang bakinya dia main tembak. Jadi saya tidak ambil serius benda itu, bagi saya akan buat program terbaik dan kerja sebanyak mungkin,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette.
Ramanan bercakap kepada media semasa satu majlis di Kota Damansara Sabtu lalu hari ini, apabila dia diminta mengulas mengenai kajian PKR yang bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier .
Analisis strategik PKR untuk pilihan raya umum ke-16 itu, dibentangkan oleh pemimpin kanan PKR pada 2 Mei lalu. Ia menunjukkan PKR berada dalam kedudukan defensif, dengan penguasaannya di kerusi-kerusi utama semakin merosot.
Berdasarkan dokumen analisis yang dilihat Malaysiakini, PKR mengenal pasti 66 kerusi parlimen sebagai fokus utama pada pilihan raya akan datang.
Kerusi tersebut dibahagikan kepada empat tahap untuk menilai kekuatan dan risiko parti menjelang PRU16.
Analisis itu meletakkan Sungai Buloh dalam Tahap 3, yang mewakili zon merah yang memerlukan campur tangan luar biasa atau bantuan khas daripada kepimpinan pusat.
