Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menjadi PM bukan lagi 'cita-cita seumur hidup' KJ
Diterbitkan:  May 11, 2026 12:35 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dia masih menyimpan cita-cita untuk menjadi perdana menteri, namun tidak lagi terlalu terikat dengan apa yang disifatkannya sebagai “cita-cita sepanjang hayat”.

Dalam wawancara bersama Malay Mail, Khairy berkata, tiga tahun berada di luar politik telah mengubah pandangannya mengenai perkara itu.

“Menjadi pemimpin dalam politik sentiasa menjadi cita-cita saya dan jawatan perdana menteri adalah kedudukan terbaik kerana kita boleh melakukan paling banyak perkara serta membantu paling ramai orang.

“Saya pernah merasakan saya tidak akan dianggap berjaya dalam hidup jika tidak menjadi perdana menteri.

“Kini saya rasa tidak mengapa jika saya tidak menjadi perdana menteri. Saya tidak akan menganggap diri saya gagal dan saya masih bernilai sebagai seorang insan,” katanya yang pernah dilihat sebagai pencabar kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy berkata dia masih terbuka kepada kemungkinan untuk menjadi perdana menteri, namun tidak lagi tergesa-gesa mengejar jawatan tersebut.

Pada Mac lalu, Khairy mengemukakan rayuan untuk kembali menyertai Umno, tiga tahun selepas dipecat daripada parti itu.

Permohonan tersebut dikemukakan pada 15 Mac kepada Ahmad Zahid, yang sebelum ini menyingkirkan bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas menteri kabinet selama tiga penggal itu ketika berlaku usaha mencabar kepimpinan parti itu pada awal 2023.

Ahmad Zahid berkata rayuan Khairy mencerminkan inisiatif “Rumah Bangsa” yang bertujuan menghimpunkan ahli politik Melayu-Islam di bawah satu payung besar.

Semasa Perhimpunan Agung Umno pada Januari lalu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi mengukuhkan semula perpaduan politik Melayu.

Dia berkata langkah itu bagi membolehkan bekas ahli dan pimpinan yang pernah meninggalkan parti itu untuk kembali semula kepada Umno.

Mengenai reformasi dalam Umno, Khairy berkata dia tetap mahu membawa pembaharuan dalam parti itu, tetapi akan melakukannya dengan lebih berhati-hati dan mengikut batas yang ditetapkan parti.

Dia turut mengakui tuntutan untuk melakukan perubahan yang terlalu mendesak sebelum ini menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan kepimpinan parti.

“Mengubah parti sering disalah tafsir sebagai mengubah individu tertentu.

“Umno ialah sebuah parti politik dan apabila kita membuat perubahan tertentu, ada pihak yang terasa tergugat. Saya akui mungkin saya kurang sensitif terhadap perkara itu.

“Mungkin saya boleh fikir dengan lebih teliti bagaimana untuk melaksanakannya tanpa dilihat bermotifkan serangan peribadi terhadap individu tertentu,” katanya.

Namun begitu, Khairy percaya Umno kini lebih bersedia untuk berubah.

Dia merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, yang menggesa ahli parti supaya meninggalkan nostalgia dan “sindrom penafian”, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membina semula kekuatan parti.

Khairy juga memuji ucapan Ahmad Zahid sempena sambutan ulang tahun ke-80 Umno yang menurutnya menunjukkan keterbukaan kepimpinan parti untuk melakukan perubahan.

“Apabila dia berkata kesilapan berlaku di kedua-dua pihak, saya melihat dia sebagai presiden dan pemimpin kepada sebuah parti yang pernah hebat dan mahu menjadikannya hebat semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS