Kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan yang wajar menerima subsidi petrol dan mereka yang boleh dikeluarkan daripada sistem subsidi berkenaan dalam usaha melaksanakan mekanisme subsidi lebih bersasar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata antara aspek yang sedang diteliti ialah penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan tersebut.
“Dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasaran, kita juga tidak mahu sehingga memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan ataupun dari segi ketersediaan untuk beralih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited di Putrajaya hari ini.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.
Anwar berkata cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lepas, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.
Dalam pada itu, Akmal berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini susulan kesediaan kerajaan untuk menambah baik kaedah pemberian subsidi supaya lebih bersasar.
“Perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat MTEN sebelum ini dan seperti Perdana Menteri telah nyatakan, ketersediaan kerajaan untuk menimbang keperluan kita menyasarkan lagi kaedah pemberian subsidi ini.
“Sudah pasti dari segi cabaran yang terbesar mungkin adalah memastikan tahap ambang itu perlu berlaku. Ini yang memerlukan pertimbangan dari pelbagai dimensi,” katanya.
Beliau berkata antara perkara yang turut diberi perhatian ialah kaedah komunikasi dasar tersebut supaya dapat difahami rakyat dengan jelas.
Katanya terdapat pandangan daripada sektor akademik dan pelbagai pihak supaya pengurusan subsidi tidak lagi dilaksanakan secara pukul rata, sebaliknya mengambil kira keperluan penggunaan.
“Kita pun sebelum ini telah menimbangkan dari segi pengurusan kuantiti bekalan yang kita berikan kepada setiap penerima.
“Kaedah seterusnya adalah melihat supaya hasil atau subsidi ini benar-benar memanfaatkan kumpulan sasaran,” katanya.
Mengenai jangka masa pemuktamadan mekanisme itu, beliau berkata kerajaan berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan sebelum bermulanya bulan baharu memandangkan pelaksanaannya turut melibatkan kesiapsiagaan sistem.
“Kalau pandangan saya, sebaiknya kita dapat memuktamadkannya sebelum bermulanya bulan baharu. Hal ini kerana, apabila kita ingin membawa perubahan, ia juga melibatkan sistem.
“Justeru, itu bergantung pada ketersediaan sistem untuk memastikan saringan itu berlaku dengan baik,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan mekanisme baharu itu berkemungkinan besar akan dibuat pada awal bulan bagi memudahkan proses pelaksanaan sepenuhnya.
Mengenai penggunaan data bagi menentukan kategori penerima subsidi, Akmal berkata beberapa dimensi termasuk pendapatan dan faktor lain sedang dipertimbangkan kerajaan.
Beliau berkata perincian lanjut hanya akan diumumkan selepas kerajaan membuat keputusan muktamad, termasuk mekanisme rayuan bagi memastikan pelaksanaan lebih telus dan mudah diterima kumpulan sasaran.
“Sudah pasti data yang ada, khususnya daripada Kementerian Ekonomi, kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada penentu atau rujukan bagi data atau dimensi yang akan dipertimbangkan,” katanya.
- Bernama
