Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Ekonomi hari ini mengakui usaha menyasarkan semula subsidi minyak Budi 95 kepada golongan memerlukan masih berdepan cabaran besar, terutamanya dalam menentukan tahap ambang layak menerima subsidi.

Pertimbangan makin sukar susulan terdapat kebimbangan golongan M40 (40 peratus berpendapatan sederhana) mungkin tidak lagi menikmati subsidi.

Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan kerajaan untuk menimbangkan keperluan menyasarkan kaedah pemberian subsidi.

"Cabaran yang terbesar mungkin adalah memastikan tahap di manakah ambang itu perlu berlaku dan ini yang akan memerlukan pertimbangan daripada pelbagai dimensi.

"Sebab itu memang itu antara cabaran yang kita hadapi adalah untuk memastikan dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasaran, tetapi juga kita tidak mahu sehingga memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan ataupun dari segi ketersediaan untuk beralih sepenuhnya.

"Jadi ini antara intipati yang menjadi perbincangan untuk menentukan di manakah garis pemisah antara mereka yang sewajarnya menerima subsidi itu dan juga mereka yang memang mungkin sebaiknya dikeluarkan daripada sistem berkenaan," katanya kepada pemberita di Putrajaya pagi tadi.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Mengenai pengkategorian golongan T (20 peratus pendapatan tertinggi), Akmal berkata data B40 menggunakan sistem Sara, namun belum diputuskan sama ada golongan T20 akan menggunakan data daripada  sistem Padu.

"Jadi untuk data-data yang diberi pertimbangan seperti yang kita tahu bahawa aspek penilaian itu ialah berlaku dari segi pendapatan mungkin juga pertimbangan daripada aspek-aspek yang lain.

"Cuma perincian itu apabila kita telah putuskan maka perkongsian itu yang kita akan kongsikan sebab sudah pasti apabila dasar ini atau pendekatan ini digunapakai, kita kena juga bagi ruang sekiranya perlu ada rayuan dan sebagainya.

"Sebab itu dari segi keperluan pendekatan secara bersasar pendirian daripada Kementerian Ekonomi ini memang konsisten. Kita merasakan bahawa dari segi ruang untuk pemberian bantuan ini perlu secara targeted," katanya.

Sebelum ini Anwar berkata bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju menarik balik subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan tinggi, namun kajian mengenainya masih berjalan.

Menurutnya definisi kumpulan terlibat masih diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kelas menengah atasan.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata cadangan itu sedang diteliti MTEN menerusi jawatankuasa diketuai tokoh korporat, Hassan Marican.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS