GLOBAL | Bekas menteri Tamil Nadu, KR Periyakaruppan, mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Madras selepas kehilangan kerusinya dengan majoriti satu undi kepada calon parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang dipimpin oleh ketua menteri baru, C Joseph Vijay.
Periyakaruppan - daripada parti pemerintah sebelumnya Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) - meminta injunksi interim bagi menghalang calon TVK, Seenivasa Sethupathy daripada mengangkat sumpah sebagai Adun atau menyertai prosiding dewan undangan negeri (DUN) yang bersidang pagi tadi.
Namun, Mahkamah Tinggi Madras menangguhkan keputusannya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI) memberitahu bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan selepas keputusan diumumkan, walaupun melibatkan undi pos yang dipertikaikan yang menjadi sandaran Periyakaruppan (gambar atas).
Menurut laporan media India, ECI berhujah, tiada bantahan dikemukakan semasa pengiraan undi dan peranannya secara efektif berakhir sebaik sahaja keputusan diumumkan secara rasmi.
Peguam kanan yang mewakili ECI, G Rajagopalan, turut memberitahu mahkamah bahawa tiada bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan bahawa undi pos tersalah hantar ke DUN yang tidak berkaitan.
Suruhanjaya itu selanjutnya berkata dakwaan tersebut hanya berdasarkan keterangan seorang ejen pilihan raya dan kewujudan kesilapan yang didakwa itu pun tidak dapat dibuktikan.
Peguam Periyakaruppan, Mukul Rohatgi dan NR Elango berhujah, anak guam mereka telah bertanding di kerusi itu sejak 2006 dan tidak pernah kalah.
Mereka berkata satu undi pos yang tersalah hantar hantar ke kerusi DUN dengan nama yang hampir sama akhirnya menyebabkan dia kalah dengan majoriti satu undi.
Untuk rekod, Vijay seorang pelakon terkenal India telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri semalam selepas berlaku ketidaktentuan selama beberapa hari dalam keputusan pilihan raya.
Parti TVK memenangi 108 kerusi dalam dewan yang beranggotakan 234 ahli kurang daripada 118 yang diperlukan untuk majoriti mudah.
Kebuntuan itu akhirnya terlerai apabila Parti Kongres India, bersama-sama CPI, CPI(M), VCK dan IUML, memberikan sokongan kepada TVK, membolehkan Vijay melepasi garisan majoriti dan dilantik sebagai ketua menteri baru.
