Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa gencatan senjata dalam perang Asia Barat kini dalam keadaan kritikal selepas menolak tawaran balas terbaharu daripada Iran, yang menyatakan tentera mereka sedia untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan, lapor AFP.

Reaksi marah presiden terhadap pendirian Iran – yang diberikan sebagai maklum balas kepada cadangan Amerika Syarikat (AS) – menyebabkan harga minyak melonjak tinggi dan memusnahkan harapan agar satu perjanjian dapat dirundingkan secepat mungkin bagi membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial.
Selepas menyelar jawapan itu sebagai "Sama sekali tidak boleh diterima", Trump bertegas bahawa AS merika Syarikat akan melihat "kemenangan lengkap" ke atas Iran, sambil menambah bahawa gencatan senjata yang sebahagian besarnya menghentikan pertempuran di Teluk selama lebih sebulan kini di penghujung jalan.
"Gencatan senjata ini dalam keadaan sangat kritikal, seperti doktor yang masuk dan berkata, 'Tuan, orang tersayang anda mempunyai kira-kira satu peratus peluang untuk hidup,'" katanya kepada pemberita pada Isnin.
Speaker parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang berkhidmat sebagai ketua perunding dalam rundingan sebelum ini dengan Washington, berkata tidak lama kemudian bahawa negaranya bersedia "untuk sebarang kemungkinan."

"Angkatan tentera kami sedia untuk bertindak balas dan memberi pengajaran bagi sebarang pencerobohan," tulisnya di X.
"Strategi yang buruk dan keputusan yang buruk sentiasa membawa kepada hasil yang buruk – dunia sudah memahami perkara ini."
Perkembangan itu meresahkan pasaran tenaga global yang sedia kucar-kacir akibat perang dan sekatan bertindih yang dikenakan oleh Iran dan AS di Selat Hormuz – laluan penting untuk penghantaran minyak dan gas.
"Kejutan bekalan tenaga yang bermula pada suku pertama adalah yang terbesar pernah dialami dunia," kata CEO dan presiden syarikat minyak gergasi Arab Saudi Aramco, Amin Nasser, kepada pelabur.
"Jika Selat Hormuz dibuka hari ini, ia masih akan mengambil masa berbulan-bulan untuk pasaran kembali seimbang, dan jika pembukaannya ditangguhkan selama beberapa minggu lagi, maka pemulihan akan berlarutan sehingga 2027."
Lapar dan kebuluran
Selain tenaga, dunia juga hadapi kekurangan baja – yang kebanyakannya datang dari pelabuhan di Teluk – dan seterusnya makanan untuk puluhan juta orang.
Jorge Moreira da Silva, pengarah eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perkhidmatan Projek (UNOPS), memberitahu AFP bahawa hanya tinggal beberapa minggu lagi untuk mengelakkan "krisis kemanusiaan besar-besaran" yang berpotensi berlaku.

"Kita mungkin menyaksikan krisis yang akan memaksa 45 juta lebih orang ke arah kelaparan dan kebuluran."
Trump tidak menyatakan apa yang menyinggung perasaannya dalam jawapannya kepada Iran, tetapi kementerian luar Tehran berkata ia menuntut sekatan tentera laut AS ke atas pelabuhannya dan perang "di seluruh wilayah" dientikan – yang turut membayangkan penghentian serangan Israel yang menyasarkan Hizbollah di Lubnan.
Paling penting, jurucakap kementerian Esmaeil Baqaei memberitahu pemberita, Iran menuntut "pembebasan aset milik rakyat Iran, yang selama bertahun-tahun terperangkap secara tidak adil di bank asing."
Ini bukan sekadar kembali kepada status quo sebelum AS dan Israel melancarkan perang pada 28 Februari, tetapi merupakan kemenangan dalam kempen berterusan republik Islam itu menentang pemulauan ekonominya.
"Kami tidak menuntut sebarang konsesi. Satu-satunya perkara yang kami tuntut adalah hak sah Iran," kata Baqaei.

Penamatan sekatan antarabangsa akan mengurangkan pengaruh Washington ke atas Tehran ketika ia cuba memastikan penamatan kekal terhadap pengayaan nuklear Iran.
AS, Israel dan sekutu mereka telah lama menuduh Iran mencari senjata atom, tuduhan yang berulang kali dinafikan Tehran.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertegas konflik tidak akan berakhir sehingga kemudahan nuklear Iran dimusnahkan.
The Wall Street Journal, memetik sumber, melaporkan cadangan balas Iran termasuk kemungkinan mencairkan sebahagian daripada uranium yang diperkaya tinggi, dengan bakinya dipindahkan ke negara ketiga.
'Kesabaran berakhir'
Ketiadaan jalan penyelesaian memfokuskan kebimbangan kepada Selat Hormuz, yang menyaksikan Iran menyekat trafik maritim dan mewujudkan mekanisme pembayaran untuk mengenakan tol bagi kapal yang melintas.

Pegawai AS menekankan bahawa ia adalah "tidak dapat diterima" untuk Tehran mengawal laluan air antarabangsa itu.
Trump memberitahu Fox News bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula operasi AS yang singkat bagi mengiringi kapal tangki minyak dan kapal komersial lain melalui Hormuz, tetapi dia belum mengambil keputusan akhir.
Sumber Arab Saudi sebelum ini memberitahu AFP bahawa Riyadh melarang AS daripada menggunakan ruang udara dan pangkalannya bagi operasi itu pada kali pertama, bimbang "ia hanya akan memburukkan keadaan dan tidak akan berkesan."
Sebagai sebahagian daripada sekatannya, Tentera Laut AS ada kalanya melepaskan tembakan ke arah kapal untuk melumpuhkannya, atau menaiki dan memesongkan arah kapal tersebut.

Dalam satu hantaran media sosial pada Ahad, jurucakap suruhanjaya keselamatan nasional parlimen Iran memberi amaran kepada Washington: "Kesabaran kami berakhir setakat hari ini."
"Sebarang serangan ke atas kapal kami akan mencetuskan tindak balas Iran yang kuat dan tegas terhadap kapal dan pangkalan Amerika," kata Ebrahim Rezaei.
