Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Isnin mendedahkan waran tangkap terhadap Senator Filipina Ronald Marapon Dela Rosa, yang pada asalnya dikeluarkan secara rahsia pada akhir 2025, lapor Xinhua.
Dela Rosa, bekas pengarah polis Bandar Davao dan kemudian Ketua Polis Negara Filipina di bawah bekas Presiden Rodrigo Duterte, dituduh terbabit dalam rancangan bersama antara 1 Nov 2011 hingga 16 Mac 2019 untuk membunuh individu yang didakwa penjenayah di Filipina, termasuk mereka yang disyaki terbabit dalam dadah.
“Waran tangkap itu, yang telah disampaikan kepada pihak berkuasa berkaitan di Republik Filipina, pada asalnya dikeluarkan secara rahsia pada 6 Nov 2025 susulan permohonan Pejabat Pendakwa pada 3 Nov 2025, namun hanya kini didedahkan kepada umum berikutan perubahan keadaan,” kata Pejabat Pendakwa ICC dalam kenyataan.
Duterte, yang berkhidmat sebagai Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022, ditahan dan dipindahkan ke tahanan ICC pada Mac 2025 di bawah waran berasingan berkaitan kempen antidadahnya. Beliau mencabar tindakan itu.

Penampilan awalnya di hadapan Kamar Pra-Perbicaraan I ICC berlangsung pada 14 Mac 2025.
Pada 28 Nov 2025, mahkamah menolak rayuan bagi pembebasannya atas alasan usia dan tahap kesihatan yang merosot.
Pada 23 April, ICC mengesahkan ketiga-tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap Duterte dan memerintahkannya dibicarakan.
- Bernama-Xinhua
