Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri di seluruh negara mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan masing-masing, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu penting bagi membolehkan peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini secara purata mencecah antara tujuh hingga 58 peratus daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.
“Mereka terdedah kepada aliran tunai yang lemah dan kebergantungan kepada satu sumber pendapatan.
"Tanpa intervensi, risiko penutupan premis boleh meningkat dengan ketara,” katanya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, inisiatif itu sudah dimulakan agensi persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melaksanakan pengurangan sewa 20 peratus bagi 7,135 lot premisnya bermula bulan ini.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memberikan potongan 50 peratus bagi tapak penjaja terpilih sehingga Dis 2027.
“Langkah ini boleh dilaksanakan secara bersasar mengikut keupayaan PBT masing-masing.
"Usaha ini bertujuan memastikan peniaga kecil terus berniaga, mengurangkan sedikit beban dan tekanan, pekerja terus mempunyai pendapatan, premis tidak kosong dan ekonomi komuniti terus berjalan,” katanya.
Kos lebih efektif
Bagi sektor perkhidmatan pula, Akmal Nasrullah berkata Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 2.1 peratus pada suku pertama tahun ini didorong kenaikan dalam subsektor penginapan serta makanan dan minuman selain pengangkutan.
“Perkembangan ini memberi isyarat bahawa tekanan kos sudah mula bergerak ke sektor yang lebih hampir dengan pengguna,” katanya.
Mengenai kos sara hidup, Akmal Nasrullah berkata walaupun harga bahan makanan secara keseluruhan masih terkawal, terdapat trend peningkatan kecil bagi item tertentu untuk tempoh 4 hingga 6 Mei lepas.
Dia memberikan contoh harga ikan kembung mencatatkan kenaikan daripada RM16.76 kepada RM17.42 sekilogram, manakala udang putih meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram.
Turut mencatatkan kenaikan ialah harga sawi yang meningkat 4.0 peratus kepada RM7.23 sekilogram, manakala santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram.

“Walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan dilihat terkawal, tetapi perdana menteri dan ahli MTEN melahirkan kerisauan terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan terutamanya di luar bandar, telah mula merasai tekanan harga barangan harian,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal berkat MTEN bersetuju supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama dengan semua ketua setiausaha kementerian dapat menyelaras inisiatif dan bantuan kerajaan agar sampai kepada kumpulan sasar, terutamanya golongan miskin dan rentan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata rakyat kini mula beralih kepada gaya hidup lebih kos efektif, apabila statistik menunjukkan peningkatan penumpang rel sebanyak 7.6 peratus dan bas 10.3 peratus pada April, berbanding bulan sebelumnya.
Bagi penggunaan tenaga elektrik, Akmal Nasrullah berkata purata permintaan maksimum bagi tempoh 4 hingga 10 Mei lepas meningkat kecil iaitu 1.4 peratus kepada 20,097 megawatt (MW) berbanding 19,815 MW pada minggu sebelumnya.
Dia berkata trend itu menunjukkan corak penggunaan elektrik masih terkawal meskipun dalam keadaan cuaca tidak menentu.
“Perkembangan ini menunjukkan masyarakat mula menyesuaikan corak mobiliti serta perbelanjaan harian kepada pilihan lebih kos efektif dan dalam keadaan kos global yang tidak menentu, perubahan kecil seperti ini penting untuk mengurangkan beban kos isi rumah,” katanya.
- Bernama
