ULASAN | Teater perlu dekat dengan masyarakat. Ia adalah cerminan kehidupan. Kedekatan itu adalah keintiman supaya penonton dapat merasai dan menghayatinya.
Teater berbeza dengan filem. Itu antara kata Ard Omar, seorang aktivis teater dari Ipoh dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Filem adalah lakon layar yang diarahkan, disunting, dirakam dan ditayangkan melalui skrin. Teater pula secara langsung terus menerus, cuba mengekalkan keaslian tanpa gagal kerana tiada lagi take one, take two, take three.
“Itu bezanya dan ia lebih dekat dengan ‘rasa’ itu. Kita akan berhadapan dengan ‘rasa’ itu terus secara langsung,” katanya.
Umumnya, sesebuah teater akan dipentaskan dalam auditorium, lengkap dan berprotokol kecuali ia dimainkan dalam ruang terbuka atau blackbox yang lebih ‘santai’, terhubung, intim dengan penonton, tidak kira sama ada teater bersifat eksperimental mahupun realisme.
Dia menekankan bahawa masyarakat harus dekat dengan teater sambil mengungkapkan satu falsafah yang mengatakan bahawa teater itu memanusiakan manusia.
“Teater memanusiakan manusia secara falsafahnya, ya kita faham. Ia mendidik, membimbing dan memberi contoh kepada manusia, berguna kepada masyarakat. Sebab manusia yang mungkin ada sekitar kita mungkin ‘anjing’ ke, mungkin ‘bab* ke…” (ketawa) sambil berseloroh.
Ard Omar atau nama sebenar Muhammad Azhahar Omar adalah seorang pengarah, pelakon, sinografer, penulis skrip serta jurulatih lakon dan juga tenaga pengajar teater yang telah terlibat lebih 25 tahun dalam bidang teater serta seni budaya.

Ard Omar sepanjang perjalannya dalam ranah teater telah mengarahkan lebih 33 pementasan teater dan berlakon dalam lebih 50 pementasan.
Pada Februari lalu, dia telah mementaskan Panggung Kotak 4.0 berkonsepkan blackbox berhadapan Studio SYJ dan Kutip Kutip Studio di dalam Pasar Besar Ipoh di Perak. Pementasan ini berjaya menarik perhatian penggiat seni tempatan, pelajar dan warga peniaga pasar untuk turut menonton.
Meneruskan misi menerusi ‘Culik’
Bagi meneruskan misi mendekatkan masyarakat khususnya warga Ipoh dengan teater; sebuah lagi pementasan bakal menemui penonton. Pada kali ini Ard Omar mengarahkan naskhah karya Walid Ali berjudul ‘Culik’ yang bakal berlangsung di Insider Satellite Ipoh.
"Jika di JKKN ruangnya lebih besar, boleh memuatkan lebih 300 penonton dan agak berprotokol, jadi sekarang ini kita cari ruang yang lebih kecil berkonsepkan blackbox dan lebih dekat dengan masyarakat. Ya, merakyatkan teater," kata Ard Omar.

Menurutnya, pemilihan Studio Insider Satellite bertujuan selain memudahkan warga hadir menonton, ia sebagai medekatkan lagi kolektif-kolektif seni budaya tempatan.
"Tambah-tambah lagi dapat mendekati komuniti-komuniti baru seperti muzik. Ipoh ialah salah satu bandar yang meraikan budaya hipster contohnya, jadi alangkah eloknya kesenian itu kita gabungkan sekali,” katanya lagi.
Teater Culik: Sebuah Komedi Tragedi ini diterbitkan oleh Persatuan Kebudayaan Daerah Larut Matang Selama dengan kerjasama STEPS (Persatuan Seniman Teater & Teknikal Pentas Perak) dan Inspire Ipoh (Pertubuhan Pendidikan Inspirasi Sosial Ipoh).
Teater ini akan berlangsung di studio Insider Satellite Ipoh pada 23 dan 24 Mei 2026 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.45 malam.

