Kerajaan Negeri Pahang telah mengenal pasti kawasan hutan di negeri itu untuk dicadangkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang baharu bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan pada 22 April lepas bersetuju meluluskan permohonan pewartaan tanah kerajaan dalam Ekologi Central Forest Spine iaitu Hutan Simpan Bera dan Rizab Ramsar Bera sebagai HSK melibatkan keluasan 524 hektar.
“Keluasan negeri Pahang ialah 3.60 juta hektar, manakala keluasan HSK sehingga kini ialah 1.589 juta hektar iaitu 44.13 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri ini.
“Antara dasar kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ialah mengamalkan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dalam pengurusan hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PN-Tahan) yang ingin tahu mengenai keluasan kawasan hutan simpan di negeri Pahang dan dasar kerajaan negeri bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata pihaknya juga sentiasa akan memastikan setiap kawasan HSK yang dinyahwartakan bagi tujuan ekonomi akan digantikan dengan kawasan hutan lain yang mempunyai nilai setara.
“Dasar kerajaan negeri ketika ini ialah setiap kelulusan nyahwarta mesti disertakan dengan kawasan gantian.
"Saya telah mengingatkan jabatan perhutanan negeri supaya memastikan kawasan gantian benar-benar tersedia terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan,” katanya.
Minta PM Anwar bagi tunai
Selain itu, Wan Rosdy berkata kawasan yang dikategorikan sebagai hutan pengeluaran ialah 762,000 hektar atau 49 peratus daripada keseluruhan HSK bagi tujuan pengeluaran hasil hutan secara mampan.
“Kawasan hutan perlindungan melibatkan 820,000 hektar bersamaan 51 peratus.
“Kawasan ini tidak boleh dibalak sama sekali, namun jika terdapat keperluan pembangunan, kawasan itu boleh dinyahwartakan dengan syarat wajib digantikan dengan kawasan lain yang setara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai jumlah kos lepas yang diterima hasil pemeliharaan kawasan hutan, beliau berkata Pahang menerima kira-kira RM72 juta kos lepas melalui pemberian projek daripada kerajaan persekutuan sejak 2022 sehingga kini.
“Saya juga ada memohon kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk diberikan secara tunai.
"Jika tidak dapat diberikan 100 peratus dalam bentuk tunai, saya memohon sekurang-kurangnya 50 peratus tunai dan selebihnya projek, namun sehingga kini semuanya masih dalam bentuk projek,” katanya.
- Bernama
