Pakatan Harapan (PH) Johor membantah keras cadangan penambahan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan dan menyifatkannya sebagai bukan penyelesaian tepat untuk memperkukuh demokrasi di negeri itu.
Dalam satu kenyataan bersama, PH sebaliknya berkata, kerajaan negeri seharusnya memberi tumpuan kepada proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang lebih adil berbanding menggunakan kaedah lantikan yang dianggap tidak mewakili mandat langsung rakyat.
"Kami berpandangan bahawa penambahan Adun lantikan tidak seharusnya dijadikan jalan mudah untuk menangani isu representasi rakyat.
"Fokus utama seharusnya diberikan kepada reformasi persempadanan, pengukuhan institusi demokrasi serta memperkasakan mandat rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih secara langsung oleh pengundi," kata mereka, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan Huda dan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.
Jurang pengundi tidak munasabah
Mengulas lanjut, PH Johor mendedahkan berlaku ketidakseimbangan kronik dalam jumlah pengundi di kawasan-kawasan DUN sedia ada.
“Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) setakat Disember 2025, jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar kini mencecah angka yang tidak munasabah.
"Sebagai contoh, jumlah pengundi DUN Kota Iskandar telah mencecah 131,330 orang, manakala DUN Tenang hanya sekitar 23,000 pengundi.
"Ini bermakna jurang jumlah pengundi antara kedua-dua kawasan telah mencecah lebih 100,000 pengundi – satu perbezaan yang amat besar dan tidak seimbang dari sudut representasi demokratik," kata kenyataan itu lagi.

Selain Kota Iskandar, lima lagi DUN dikategorikan sebagai 'kawasan gergasi' dengan pengundi melebihi 100,000 orang iaitu Puteri Wangsa, Tiram, Permas, Perling, dan Skudai.
Justeru, kata mereka, penambahan Adun lantikan tidak seharusnya dijadikan jalan mudah untuk menangani isu representasi rakyat. Sebalinya, fokus utama harus diberikan kepada reformasi persempadanan, pengukuhan institusi demokrasi serta memperkasakan mandat rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih secara langsung oleh pengundi.
“Perlu taburan pengundi yang lebih sekata dan seimbang adalah lebih adil serta selari dengan prinsip demokrasi 'satu orang, satu undi' supaya keadaan 'under represented' dan 'over represented' dapat dikurangkan secara lebih efektif,” kata PH.
Gesa SPR buat semakan
PH Johor juga menegaskan bahawa kali terakhir proses persempadanan semula dilaksanakan adalah pada Mac 2018, dan kini telah melepasi tempoh lapan tahun yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk semakan semula.
Gabungan itu berpendapat persempadanan semula penting bagi memastikan beban tugas wakil rakyat adalah munasabah untuk mengurus isu kebajikan dan pembangunan secara efektif.
Sehubungan itu, PH Johor akan menggerakkan kempen kutipan tandatangan bantahan terhadap penambahan Adun lantikan ini secara fizikal di lapangan serta melalui platform atas talian bagi memberi ruang kepada rakyat Johor menyatakan pendirian mereka secara terbuka dan demokratik.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, ketika membentangkan rang undang-undang itu di Bangunan Sultan Ismail di Iskandar Puteri, berkata cadangan pelantikan itu bertujuan meluaskan penyertaan dalam dewan undangan negeri, terutama melalui penglibatan individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bagi meningkatkan perbahasan serta proses penggubalan dasar.
