Daie Madani bersama beberapa NGO lain hari ini menggesa polis menyiasat Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Pengerusinyna, Amir Zuhair Abdull Khalid, berkata tuduhan yang dibuat Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tidak bersandarkan kepada mana-mana kitab atau sirah yang sahih, justeru menjadikan ia suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Setakat yang dia (Nik Zawawi) masukkan adalah daripada ar-Raheeq al-Makhtum, padahal kitab tersebut tidak menjelaskan siapa sahabat yang pada zaman jahiliah yang terlibat dengan perkara tersebut.
"Tidak ada satu spesifik kitab pun dalam sirah Islam ini yang menjelaskan atau yang mengatakan seperti tuduhan dilemparkan oleh Nik Zawawi kepada dua sahabat nabi yang besar itu," katanya dipetik Bernama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia serta Angkatan Muda Keadilan.
Amir Zuhair berkata laporan polis dibuat bagi menyeru pihak berkuasa menyiasat Nik Zawawi di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
"Inilah adalah tiga akta yang kami masukkan dalam laporan polis supaya Nik Muhammad Zawawi dihadapkan ke muka pengadilan atas ketelanjuran perkataan kepada para sahabat nabi," katanya.
Dia juga menyeru ahli politik PAS itu untuk menginsafi perbuatan tersebut, lebih-lebih lagi apabila partinya sendiri turut mengkritik tuduhan yang dibuat itu.
Mahu tindakan tegas diambil
Sebelum ini, tular video yang memaparkan Nik Zawawi mendakwa Sayidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah, manakala Sayidina Umar al-Khattab pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum dia memeluk Islam.
Kenyataan itu dipercayai disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lepas.
Nik Zawawi hari ini sudah tampil memohon maaf dan mengakui bahawa dia kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika itu.
“Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosiobudaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya," kata ahli parlimen itu.
Dalam perkembangan sama Pemuda Amanah Kelantan turut membuat laporan kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun berbeza sedikit daripada yang lain Pemuda Amanah Kelantan turut merujuk Nik Zawawi kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) selain polis.
Ketuanya Hazmi Hassan berkata isu berkaitan akidah serta penghormatan terhadap para sahabat Rasulullah SAW dan sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan.
Katanya ia perlu ditangani secara berhikmah, berilmiah dan menurut lunas undang-undang.
"Sehubungan itu, Pemuda Amanah Kelantan menyokong agar pihak berkuasa agama dan juga polis menjalankan penelitian serta siasatan secara adil, telus dan profesional terhadap kandungan ceramah yang dipersoalkan.
"Sekiranya didapati wujud unsur penghinaan, hasutan atau pelanggaran undang-undang berkaitan agama dan ketenteraman awam, maka tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat agar perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.
"Semua pihak perlu mengelakkan budaya menghukum atau membuat keputusan melulu sebelum proses siasatan selesai dijalankan.
"Pendekatan matang dan berlandaskan fakta amat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat serta kesucian institusi agama sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.

