Seorang bekas pegawai Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, hari ini memuat naik hantaran bagi memperihalkan kedudukan parti politik dan ahlinya yang tidak boleh disamakan seperti ayam atau reban.
Menurut pandangan Marzuki Mohamad, sesebuah parti politik ditubuhkan dengan membawa matlamat tertentu. Misalnya, kata Marzuki, parti nasionalis memperjuangkan hak rakyat pribumi, manakala parti Islam memperjuangkan pelaksanaan pemerintahan cara Islam.
Parti komunis pula, kata bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri itu, menentang kapitalisme dan memperjuangkan kewujudan masyarakat tanpa kelas.
Marzuki menambah ahli-ahli politik menyertai sesebuah parti kerana dasar dan matlamat perjuangan yang dibawa pertubuhan berkenaan.
"Mereka bertanding dalam pilihan raya untuk memperolehi kuasa dan dengan kuasa itu mereka boleh melaksanakan dasar parti dalam pemerintahan dan mencapai matlamat perjuangannya.
"Yang mengikat kesetiaan ahli-ahli politik kepada parti sepatutnya komitmen kepada perjuangan parti. Bukan dedak yang ditabur di dalam reban ayam.
"Ya, ayam di dalam reban mesti dijaga dan dibela dengan dedak. Tetapi ahli-ahli politik yang ada nilai perjuangan tidak perlu dijaga dan dibela seperti ayam.
"Jika mereka dilayan seperti ayam, habis dedak mati kelaparanlah mereka," katanya di media sosial.
Walaupun ia kelihatan bersahaja, hantaran Marzuki itu hadir selepas Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, memuat naik serangkap pantun terkait "ayam" dan "reban".
Semalam pula seorang Adun Terengganu yang juga Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat hantaran mengkritik Bersatu secara terbuka.
Pada pandangan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Muhammad Fauzi, ketika ini Bersatu sudah "tiada roh" dan "hilang arah" selepas seorang demi seorang pemimpin serta wakil rakyat parti itu sama ada dipecat atau digantung.
Malah Adun Sura itu melihat tindakan Bersatu tersebut sebagai proses 'sembelih.'
“Disembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa," katanya.
Dia turut mencadangkan agar Bersatu meninggalkan PN.
Era perjuangan bermaruah dah berlalu
Pagi tadi bagaimanapun PN mengeluarkan kenyataan melalui setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, yang meminta semua ahli parti komponen agar tidak membuat sebarang kritikan secara semberono kepada parti sekutu.
Menurut Takiyuddin, sebarang rasa tidak puas hati perlu disalurkan kepada parti masing-masing untuk dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah dalam PN.
Untuk rekod hubungan di antara Bersatu dan PAS mengalami pasang surut di sebalik keberadaan mereka bersama sebagai dua parti utama PN.
Antara isu yang membawa kepada kemelut itu ialah jatuhnya Adun PAS Perlis daripada jawatan menteri besar yang membawa kepada desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN.

Jawatan setiausaha agung gabungan itu juga bertukar selepas isu tersebut.
Kata Marzuki di sebalik kedudukan ahli dan parti politik bukanlah seperti ayam dan reban, realitinya pula adalah berbeza apabila kesetiaan seseorang tidak lagi terikat kepada perjuangan.
Sebaliknya, kata ahli akademik itu lagi, ia terarah kepada imbuhan dan apa yang boleh diterima masing-masing
"No money, no talk. Politik telah menjadi transaksi, bukan perjuangan.
"Kesetiaan hanya kepada kuasa dan sumber. Hanya yang ada kuasa dan sumber boleh membeli kesetiaan.
"Zaman berjuang untuk mendapatkan pahala dan maruah kehormatan sudah berlalu," katanya.
