MIC secara terbuka meluahkan rasa kecewa terhadap kedudukan parti itu dalam BN, dengan mendakwa terus dipinggirkan dalam pelbagai keputusan penting membabitkan kepentingan komuniti India.
Ketua media nasional MIC, L Sivasubramaniam berkata sejak tiga tahun lalu, proses pelantikan senator di bawah kuota BN tidak mengambil kira cadangan yang dikemukakan MIC, meskipun senarai nama diserahkan kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
"Senarai nama yang dikemukakan oleh MIC dan disalurkan melalui pengerusi BN tidak membuahkan sebarang hasil yang nyata. Selain itu, permohonan untuk pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak membuahkan hasil, walaupun terdapat lebih 200 pelantikan GLC di bawah kementerian yang diterajui menteri daripada BN.
"Tiada satu pun lantikan yang benar-benar mencerminkan komitmen terhadap wakil masyarakat India melalui MIC. Sehubungan itu, MIC menyeru agar kepimpinan BN menilai semula pendekatan terhadap MIC dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab," kata Sivasubramaniam dalam satu kenyataan media hari ini.
Hubungan MIC bersama Zahid dilihat retak sejak penubuhan kerajaan perpaduan.
Pergeseran itu mencapai titik kemuncak pada mesyuarat agung tahunan parti itu pada November tahun lepas selepas para perwakilan secara sebulat suara meluluskan usul yang antara lainnya membenarkan MIC keluar daripada gabungan BN.
Bagaimanapun, walaupun usul itu diluluskan, MIC belum membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan gabungan berkenaan.
Sebaliknya, parti itu mula meneroka pilihan kerjasama baru, termasuk mengemukakan pertanyaan rasmi kepada PN bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang tersebut.
Presiden MIC, SA Vigneswaran, sebelum ini menegaskan hasrat untuk keluar daripada BN bukan satu ugutan, sebaliknya langkah strategik demi masa depan parti selepas merasakan tiada lagi ruang dan pengiktirafan setimpal dalam gabungan itu.
Mengulas lanjut, Sivasubramaniam yang juga Ahli Majlis Kerja Pusat (CWC) MIC berkata, parti itu tidak pernah menjadikan kedudukan peribadi sebagai keutamaan.
Malah, katanya terdapat tawaran jawatan pada peringkat individu yang telah ditolak.
“Fokus utama adalah untuk memastikan janji terhadap pemimpin lain serta komitmen kepada masyarakat India ditunaikan terlebih dahulu.
“MIC berhak diberikan penghormatan yang setimpal sebagai parti komponen yang mempunyai sejarah panjang, rekod perjuangan yang jelas dan mandat besar dalam membawa suara masyarakat India di Malaysia,” katanya.
