ULASAN | Usaha Tuan Ibrahim Tuan Man mengharmonikan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Zawawi Salleh, berkaitan dakwaan terhadap Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayidina Umar al-Khattab sebagai suatu khilaf semalam mesti dibantah secara terbuka.
Timbalan Presiden PAS itu menghantar mesej bahawa perkara tersebut kononnya termasuk dalam ruang “khilaf” (perbezaan pandangan), justeru masyarakat diminta berlapang dada dan mengambil pendekatan “keluar daripada khilaf adalah mustahab (digalakkan)” sangat menyalahi kebenaran fakta.
Saya bertemu beberapa tulisan rakan dan pempengaruh di media sosial yang turut mengkritik keras Tuan Ibrahim dalam perkara tersebut.
Moga-moga lebih ramai yang berani dan jujur memberikan teguran kepada tokoh tersebut, bukanlah atas pertimbangan politik sebaliknya demi mempertahankan kemuliaan para sahabat besar Nabi SAW.
Kaedah fiqh yang dikemukakan oleh Tuan Ibrahim berbunyi: “al-khuruj minal khilaf mustahabbun” yang bermaksud “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan.”
Maksud sebenar tindakan keluar daripada khilaf ialah merujuk kepada tidak melakukan sesuatu yang masih dalam pertikaian para ulama, sama ada ia boleh dilakukan atau tidak.
Ada hujah ia boleh dibuat dan ada hujah ia mesti ditinggalkan, maka jangan dilakukan. Itulah maksudnya.
Namun hakikatnya, penggunaan kaedah tersebut dalam konteks dakwaan Nik Zawawi bahawa Abu Bakar bapa ceti dan Umar memiliki hobi berzina sebelum Islam mereka adalah satu kesilapan besar lagi fatal dari sudut disiplin ilmu.

Bahkan lebih membimbangkan, ia boleh membuka pintu normalisasi terhadap pendustaan dan fitnah atas nama “khilaf”.
Kitab mana jadi rujukan
Kita perlu faham terlebih dahulu bahawa tidak semua perkara boleh dilabel sebagai khilaf. Dalam tradisi ilmu Islam, khilaf yang diraikan ialah perbezaan pandangan yang lahir daripada ijtihad dan mempunyai sandaran ilmiah yang muktabar iaitu yang boleh diterima pakai.
Para ulama berbeza pandangan dalam banyak isu cabang fiqh seperti membaca qunut Subuh, bacaan basmalah, hukum menyentuh wanita membatalkan wuduk ataupun beberapa isu muamalat dan ibadah.
Itu semua termasuk dalam ruang khilaf yang diiktiraf.
Tetapi menuduh para sahabat Nabi Muhammad dengan tuduhan yang mencemarkan maruah mereka tanpa bukti – itu bukan khilaf fiqh. Ia bukan perbezaan ijtihad. Ia bukan perbahasan cabang hukum.

Ia adalah dakwaan jahat terhadap kehormatan manusia, lebih-lebih lagi manusia yang dipilih Allah menjadi sahabat Rasulullah.
Soalan kita kepada Tuan Ibrahim ialah, sejak bila dakwaan seperti “Abu Bakar pernah menjadi bapa ceti” atau “Umar pernah menjadi kaki zina” menjadi pandangan yang muktabar dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah?
Kitab mana yang mengiktirafnya sebagai pandangan yang sah untuk diraikan atas nama khilaf?
Perlu diingat bahawa sebelum mengemukakan permohonan maaf semalam, Nik Zawawi menggesa masyarakat agar lebih rajin membaca kitab dan merujuk pendangan para ulama bagi memahami isu ini.
Malah bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu sendiri memaafkan orang ramai yang mengkritik dan mencelanya. Ya, mencela orang itu perbuatan yang tidak baik. Tapi kritik, mesti.
Tidak berapa lama kemudian – malah kurang dari 24 jam – ada pihak yang menyiarkan kenyataan di bawah nama Nik Zawawi kononnya meminta maaf atas kekhilafannya. Ya, masih lagi menggunakan kalimah khilaf.
Bahaya jika tidak dibetulkan
Selepas tersebarnya permohonan maaf tersebut, Tuan Ibrahim segera mengemukakan pandangan bahayanya demi mempertahankan sahabat baiknya yang juga kini merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

Siapa agaknya ulama muktabar yang mengajar umat ini supaya bersikap neutral terhadap tuduhan berat seperti yang diungkapkan Nik Zawawi di Kuala Terengganu itu?
Siapa guru Tuan Ibrahim?
Inilah masalah besar apabila istilah “khilaf” digunakan secara longgar dan tanpa disiplin ilmu. Ia akhirnya menjadi perisai untuk melindungi kenyataan yang tidak boleh dipertahankan secara ilmiah.
Sedangkan para ulama usul fiqh sendiri meletakkan syarat bahawa khilaf yang diraikan mestilah khilaf yang mempunyai asas dan sandaran yang betul, bukan pandangan syaz (ganjil), bukan cerita tanpa sanad, dan bukan dakwaan yang bertembung dengan prinsip agama.
Kaedah “keluar daripada khilaf adalah mustahab” juga bukan lesen untuk menerima semua dakwaan yang wujud dalam sejarah atau kitab-kitab tertentu.
Kalau logik ini diterima, maka esok sesiapa sahaja boleh membawa apa sahaja tuduhan terhadap tokoh Islam, kemudian apabila ditegur mereka akan berkata: “Ini cuma khilaf.”
Akhirnya masyarakat dipaksa menerima semua perkara atas nama toleransi ilmu walaupun perkara itu bercanggah dengan disiplin Islam sendiri, bahkan hanya kerana sentimen palsu.
Lebih malang lagi apabila nama para sahabat Rasulullah dijadikan bahan sensasi dalam ceramah dan media sosial. Sedangkan baginda telah memberi amaran yang sangat keras tentang kedudukan para sahabat.
Sabda Nabi SAW: “Jangan kamu mencela sahabat-sahabatku.”
Semoga episod kali ini menginsafkan semua asatizah dan ulama khususnya yang aktif turun padang bertemu para pengundi agar mengutamakan disiplin ilmu, taqwa dan akhlak baik mengatasi keseronokan menghentam lawan politik demi sokongan undi.
Sama ada Tuan Ibrahim perlu memohon maaf atau tidak, saya kembalikan kepada para pembaca sekalian!
ABU IHSAN ELBARITI ialah pembaca Malaysiakini yang banyak menulis isu-isu agama dan politik. Dia mendapat pendidikan dalam bidang syariah dan bekerja dalam industri kewangan Islam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
