Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid menolak “manipulasi” dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di sekolah Cina sehingga partinya dituduh mengkhianati Melayu.
Hakikatnya, kata anak timbalan perdana menteri Zahid Hamidi itu, ramai tidak memahami fakta sebenar dan bagaimana sesuatu dasar kerajaan dibuat.
“Hakikatnya, keputusan berkaitan kemasukan lepasan UEC ke IPTA bukan keputusan seorang menteri secara individu, apatah lagi keputusan Umno semata-mata,” kata Nurulhidayah.
“Walaupun menteri KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) datang daripada Umno, segala keputusan dasar pendidikan negara perlu melalui proses kelulusan kabinet yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan dipersetujui secara bersama oleh kerajaan.”
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Ipta.
Bagi calon aliran itu yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara programnya ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Calon aliran itu yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di Ipta.
‘Masih tak iktraf secara automatik’
Menulis di media sosial, dia juga berkata ramai pihak sengaja menutup fakta bahawa UEC sahaja masih tidak diiktiraf secara automatik untuk semua kemasukan institut pengajian tinggi awam (Ipta).
Katanya, syarat asas tetap wujud iaitu perlu ada kredit Bahasa Melayu, lulus Sejarah, dan hanya program tertentu sahaja dibuka berdasarkan syarat merit universiti.
Malah, katanya, untuk kebanyakan program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain, syarat akademik tetap ketat dan tertakluk kepada keputusan senat universiti.
“Jadi naratif kononnya ‘UEC kini bebas masuk IPTA tanpa syarat’ adalah tidak tepat dan bersifat manipulatif politik,” katanya.
Nurulhidayah juga mengingatkan bahawa kerajaan juga membuka ruang kepada lepasan tahfiz dan aliran lain untuk melanjutkan pengajian.
Justeru, katanya, ia menunjukkan pendekatan pendidikan Malaysia lebih bersifat inklusif tanpa menghapuskan identiti nasional dan syarat asas negara seperti Bahasa Melayu serta Sejarah.
“Jangan kerana kebencian politik, semua perkara mahu dijadikan bahan membakar sentimen kaum dan memfitnah parti tertentu.
“Kalau mahu marah, marahlah dengan fakta. Kalau mahu berpolitik, biarlah dengan ilmu. Bukan membina persepsi seolah-olah satu parti boleh meluluskan dasar negara sesuka hati tanpa melalui kabinet kerajaan.
“Faham struktur kerajaan dahulu. Barulah adil dalam menilai sesuatu isu,” katanya.
