Landskap keselamatan yang berubah di Eropah dan global menjadi punca Norway membuat keputusan membatalkan eksport peluru berpandu ke Malaysia–tindakan yang mengundang kritikan daripada Malaysia, termasuk perdana menteri.
Kementerian Luar Negeri Norway berkata kerajaannya dari semasa ke semasa berusaha untuk memperkukuh kawalan terhadap teknologi pertahanan yang dibangunkan di Norway.
“Landskap dasar keselamatan di Eropah dan secara global berubah dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kerajaan oleh itu, dari semasa ke semasa, berusaha memperkukuh kawalan ke atas teknologi pertahanan yang dibangunkan di Norway,” kata kementerian itu dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
“Eksport beberapa teknologi pertahanan paling sensitif yang dibangunkan Norway akan dihadkan kepada sekutu dan rakan kongsi terdekat kami.”
Pada masa sama, kementerian itu berkata ia kesal kerana keputusan membatalkan lesen eksport teknologi senjata itu memberi kesan kepada Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri boleh mengesahkan bahawa lesen tertentu berkaitan eksport teknologi pertahanan khusus ke Malaysia dibatalkan.
“Ini semata-mata disebabkan oleh pemakaian peraturan kawalan eksport Norway, dan amat dikesalkan kerana ia menjejaskan Malaysia.
“Tugas kerahsiaan bawah Akta Kawalan Eksport (Norway) adalah ketat. Kementerian Luar Negeri oleh itu tidak dapat mengulas mengenai kes individu.”
Hargai hubungan dengan Malaysia
Keputusan Norway bermaksud sistem peluru berpandu serangan laut (NSM) bagi program kapal tempur pesisir (LCS) tidak dapat dihantar walaupun pengeluarannya, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) menandatangani perjanjian dengan Malaysia pada 2018.
Keputusan itu boleh menyebabkan program LCS Tentera Laut Diraja Malaysia yang lama tertunda tanpa keupayaan peluru berpandu antipermukaan, sekurang-kurangnya sehingga sistem pengganti diperoleh.
Menurut laporan New Straits Times, Malaysia sudah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak, berjumlah lebih RM500 juta.
Keputusan Norway menyebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan kerasnya kepada rakan sejawatannya dari Norway, Jonas Gahr Store dalam satu panggilan telefon pada 14 Mei.
Kementerian Pertahanan Malaysia sementara itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung keputusan Norway.
Satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian ditubuhkan untuk memperincikan tuntutan, yang tidak terhad kepada bayaran balik yang sudah dibuat, tetapi juga termasuk ganti rugi yang timbul daripada pelanggaran kontrak.
Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Luar Negeri Norway berkata kerajaannya masih menghargai hubungannya dengan Malaysia.
“Norway amat menghargai hubungannya dengan Malaysia dan mengharapkan kerjasama berterusan serta dialog membina dengan pihak berkuasa Malaysia,” kata kenyataan itu.
