ULASAN | Di negeri ini, fitnah sudah parah. Sangking ia menjadi seperti kain basahan, sampai ada omelan di mana-mana, “fitnah dahulu; maaf kemudian”!
Hampir semua kerja baik, diserang. Tidak terlepas fitnah turut dihalakan ke, misalnya, misi Sumud Flotilla, turun-naik harga minyak, batang tubuh pemimpin sehingga para sahabat Nabi. Satu-satu hendak mereka leburkan — asalkan nafsu pembenci itu terpenuhi.
Ya, cerita ceramah PAS yang merendahkan dengan fakta ‘ke laut’ para sahabat Nabi merupakan manifestasi, betapa pelaku fitnah sudah sampai tahap empat ‘barah hati’. Mentang-mentang yang mengucapkannya berjubah-serban, benar-salah agama seakan terletak di tepak kaki mereka.
Secara rekod, saman fitnah khusus berkaitan PAS bertumpuk-tumpuk. Hampir tiap bulan, kalau pun tidak berkala mingguan, ada sahaja berita tentang fitnah yang melibatkan PAS dan pemimpin mereka.
Dalam beberapa tahun ini sahaja, jumlah saman fitnah yang dibayar pemimpin PAS kalau dibakulkan melebihi RM2 juta! Itu tidak termasuk sejumlah RM1.4 juta lagi yang diberitakan dibayar secara rahsia oleh PAS kepada Sarawak Report.
Isu berkenaan terkait saman PAS dalam mahkamah tinggi keadilan di London, atas pendedahan Clare Rewcastle-Brown bahawa PAS ada menerima RM90 juta daripada seorang mantan perdana menteri untuk menyokong parti pemerintah pada waktu itu.
Runtuhkan empayar
Pada era media sosial, fitnah lebih laju dari cahaya. Ketika itulah, orang yang jujur didustakan—dan hendak digulingkan dari jabatan secepat-cepatnya. Sejelas apa pun sesuatu fitnah, tetap ada yang tegar menyokongnya.
Barang diingat, kesan fitnah tidak hanya menjahanamkan seseorang atau satu-dua kelompok sasaran. Walaupun tujuan awal fitnah untuk mencemarkan individu tertentu, pada akhirnya fitnah selalu membinasakan masyarakat dan seluruh bangsa.
Dalam sejarah Islam, ceritanya banyak. Sultan Mahmed ke-VI yang dilengserkan dengan fitnah oleh Inggeris dan orang Yahudi memberi kesan seluruh empayar Uthmaniah, roboh. Tali barut Inggeris-Yahudi itu ada di kalangan Muslim sendiri.

Kesan domino daripada kehancuran Uthmaniah ialah terlerainya wilayah-wilayah lain sehingga menjadi kerajaan-kerajaan kecil. Tatkala fitnah menang, berakhirlah sebuah era khalifah yang begitu lama memayungi umat Islam.
Kalau diteliti kejatuhan empayar Mamluk di Mesir (1250-1517), meski terkenal kerana mempunyai pelabuhan dagang antarabangsa dan bala tentera yang ramai lagi kuat, akhirnya jatuh kerana fitnah yang bersarang.
Selain itu, sebelum pasukan Raja Ferdinand I dan Ratu Isabella II dapat menawan Andalusia, fitnah di kalangan sesama Muslim juga amat menyedihkan, bertebaran. Ibnu Rush misalnya, terpaksa mengungsi ke Maghribi dan menumpang di rumah muridnya akibat difitnah.
Al-kisah kerajaan-kerajaan besar di Nusantara juga runtuh dimamah fitnah. Majapahit di Jawa, Srivijaya di Sumatera dan Melaka di Semenanjung, semua jadi lemah dan terkalahkan kerana sebelumnya, fitnah sudah menjadi sarapan pagi para pemain kuasa.
Panglima agung Melayu, Hang Tuah juga difitnah sehingga Datuk Bendahara Paduka Raja Tun Perak terpaksa menyembunyikan Tuah ke Ulu Melaka. Maknanya, sebelum Portugis dapat menembusi gerbang pertahanan Melaka pada 1511, jauh sebelum itu, Melaka sudah rapuh dan rosak dari dalam pagar istana.
Melawan fitnah
Melihat akan semua kisah tragis sama ada di antara empayar besar Muslim mahupun kerajaan-kerajaan di alam Melayu ini, bangsa kita sewajarnya sudah cukup membenci sebenci-bencinya perbuatan fitnah. Kebencian itu wajar setingkat dengan bencinya kita terhadap perbuatan khianat.
Namun, ada yang tetap tidak mahu berishtifar di samping pusara sejarah.
Kalau fitnat terbukti boleh membinasakan empayar-empayar yang kuat itu tadi, ya, apalah sangat dengan dasar atau program kerajaan Madani hari ini. Bak kata sesetengah netizen, “kalau sahabat Nabi pun boleh difitnah; PMX itu tiada apa-apanya bagi mereka!”
Ramai juga sedar, hunjaman fitnah dahsyat - bahkan sebuah komplot politik maha besar - dihunjam ke arah Anwar Ibrahim sejak hampir tiga dekad lalu. Dek lamanya tempoh itu, dengan fitnah yang diulang-ulang, tidak kurang ramai yang tertelan dan percaya. Walau kata “fitnah” diganti dengan nama “propaganda”, fitnah tetap fitnah!
Sesuatu yang jarang disedari atau diperkatakan ialah, kebangkitan rakyat pada 1998 yang dikenali sebagai “Gerakan Reformasi”, sebenarnya bukan hanya pembelaan terhadap batang tubuh Anwar.

Ia juga merupakan satu bentuk perlawanan rakyat terhadap fitnah, buli dan perbuatan keterlaluan mengaibkan keluarganya. Aslinya budaya semua rakyat Malaysia takkan pernah menerima politik pelampau begitu.
Pengulas politik, Raja Petra Kamaruddin (meninggal dunia pada 2024) di hujung hayatnya juga sempat menceritakan bagaimana komplot fitnah terhadap Anwar ‘kantoi’ berderai ketika perbicaraan mahkamah. Kondominium Trivolli Villa belum pun dibina ketika Anwar dituduh melakukan pertuduhan tersebut, di situ.
Pada 24 November 2022: ketika Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, ia sekaligus lambang kemenangan rakyat kita yang sekian lama gigih melawan kelompok pemfitnah. Dari satu sisi, bersyukurlah kerana bangsa ini masih terselamat; tapi dari sisi yang lain, fitnah masih tetap merayap tanpa henti. Pagi dan petang; siang dan malam.
Rakyat yang melawan fitnah inilah yang sebenarnya menyelamatkan nusa-bangsa; mengangkat kebenaran agama. Oleh itu, berdiam diri bukan lagi pilihan yang ada. Sama ada tiga dekad lalu, mahu pun hari ini.
HASMI HASHIM ialah seniman dalam bidang seni lukis, lirik lagu dan puisi, selain seorang penggiat parti politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
