Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 12 inisiatif bagi memperkasakan dan memperkukuh tugas guru bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 tahun ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bagi menyokong pembangunan profesional para pendidik dalam literasi digital, kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap Satu dan Tahap Dua diteruskan secara percuma kepada semua guru.
Beliau berkata ikhtiar itu membawa manfaat kepada semua guru yang melibatkan kos bagi setiap seorang guru sebanyak RM40 bagi GCE Tahap Satu dan RM100 bagi GCE Tahap Dua
"Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan Hadiah Latihan Persekutuan khas, iaitu disediakan kepada guru-guru yang telah sanggup berkorban untuk mengajar di sekolah rintangan di bawah ProHas (Program Hadir Ke Sekolah) seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung, sekolah pedalaman di kawasan P1, P2, dan P3.
"Mereka akan terpilih untuk program Sarjana dan juga PhD (doktor falsafah) bagi memastikan bahawa apa yang kita hasratkan, khususnya bagi memastikan mereka dapat terus berkhidmat dan pastinya pengajian mereka ini akan membantu untuk meningkatkan akses pendidikan dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan berkenaan yang bertemakan Guru Bitara Nadi Negara, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Ipoh hari ini
Fadhlina berkata KPM akan memperluas Biasiswa Perguruan Persekutuan kepada pemimpin sekolah untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana.
"Jadi guru besar, pengetua, penolong kanan kena ambil peluang ini untuk melanjutkan pengajian khusus dalam biasiswa perguruan untuk pemimpin sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pihaknya turut melihat cabaran demografi yang menyebabkan para guru yang berhadapan kesulitan apabila mengendalikan kelas secara dalam talian. Untuk itu, KPM memperkenalkan Network Offline Digital Environment (NODE) bagi memastikan akses pembelajaran digital tetap dapat diteruskan dan diupayakan walaupun tanpa capaian Internet.
"Untuk tujuan ini, KPM menerusi tajaan Yayasan Guru Tun Hussein Onn memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi memperkukuh pelaksanaan program ini di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dan pulau di bawah program sekolah terintang," katanya.
Fadhlina berkata peruntukan sebanyak RM169 juta disediakan untuk membekalkan peranti kepada setiap sekolah bagi terus memperkukuh kokurikulum persekolahan tahun depan, seterusnya dapat mengaplikasikan teknologi tanpa gangguan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru di seluruh negara, selain peruntukan RM50 juta disediakan bagi melaksanakan penyelenggaraan kuarters guru.
Fadhlina berkata Sistem Perekodan Kokurikulum secara manual dimansuhkan dengan pihak sekolah diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan kokurikulum mengikut kesesuaian dan kreativiti masing-masing, sebelum mencatatkan maklumat kokurikulum murid dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Dalam pada itu, beliau berkata RM10.5 juta diperuntukkan untuk menyediakan bahan bacaan tambahan bagi semua 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara menerusi Pemerkasaan Budaya Membaca Prasekolah (Program PAKAT).
"Selain itu, sejumlah RM122.4 juta diperuntukkan untuk fasa pertama bagi membolehkan para guru mengendalikan semua program kokurikulum bermula tahun depan," katanya.
Beliau berkata Yayasan Guru Tun Hussein Onn menyediakan bantuan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap guru yang anaknya memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Turut diumumkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan pertama untuk bayaran sewaan kantin sekolah, dan langkah itu diharap dapat terus mengekalkan harga makanan yang berpatutan dan makanan berkualiti untuk semua warga sekolah.
- Bernama
