Hampir 3,000 peserta hadir ke Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda PAS Selangor hari ini sebagai tanda taat setia kepada Sultan Selangor.
Peserta mula berkumpul di Masjid Negeri Selangor sejak jam 3.30 petang sebelum berarak ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di Shah Alam.
Mereka terdiri daripada wakil parti politik seperti PAS, Umno, Bersatu, Pejuang dan Putra, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Himpunan ini merupakan tindak balas politik terhadap isu kedaulatan raja dan negeri.

Bertemakan baju kuning, perhimpunan ini membantah pendirian pemimpin DAP mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden serta tidak membeza-bezakan penternakan haiwan itu dengan binatang lain.
Istana bagaimanapun mahu Selangor beralih daripada penternakan kepada bekalan import sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor Shukry Omar yang hadir berucap pada demonstrasi hari ini, menggesa rakyat negeri itu menolak DAP pada PRU16, sambil mendakwa parti berkenaan menjadi punca perpecahan kaum di Selangor.
"Saya seru seluruh rakyat di Selangor, bangkitkan, tolak DAP. Kita gesa Adun Seri Kembangan (Wong Siew Ki) ini mesti meminta maaf.

"Kita juga menggesa speaker Selangor (Lau Weng San) supaya tidak berdolak-dalik. Bawa Adun Seri Kembangan ke Jawatankuasa, hak dan kebebasan.
"Jangan jadi speaker bacul," katanya ketika berucap pada Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin pula berkata kehadiran pemimpin pelbagai peringkat daripada parti itu mencerminkan komitmen Umno dalam mempertahankan institusi diraja.
Dalam ucapannya, Imran menegaskan Umno akan terus mempertahankan institusi monarki, hak Melayu dan Islam.

"Apabila melibatkan isu yang melibatkan institusi diraja, melibatkan orang Melayu, melibatkan Islam, Umno akan berada di sana untuk mempertahankan (mereka)," katanya.
Imran turut memberi amaran terhadap sebarang cubaan mencabar titah diraja dan berkata Umno bersama peguam daripada PAS serta NGO akan mempertahankan institusi beraja jika diperlukan.
Turut hadir ialah aktivis undang-undang Rafique Rashid, Presiden Isma Suhayb Al Rumy, Pengerusi Pejuang Selangor Markiman Kobiran, Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa, wakil Perkasa Burhan Ahmad, Bibi Sunita Khan dari NGO Negarati dan Nazilah Idris dari Gabungan NGO-NGO Selangor.
Terdahulu, wakil Pemuda Umno, PAS dan Pertubuhan Ummah yang mengumpulkan lebih 300 NGO menyerahkan tiga memorandum berasingan di Istana Kayangan, Shah Alam sebagai tanda taat setia kepada Sultan Selangor.

Memorandum itu diserahkan pada jam 4.15 petang di pintu gerbang Istana Kayangan dan turut dihadiri Ketua Pemuda PAS pusat Afnan Hamimi.
"Dalam memorandum ini tidak ada sebarang kod atau perkara yang disembunyikan. Kami menyebut tentang bagaimana rakyat terus menunjukkan rasa hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan, serta kepada sekalian yang hadir dalam Himpunan Daulat Tuanku pada hari ini.
"Seluruh rakyat menghargai kebijaksanaan, ketegasan dan keprihatinan Tuanku, terutamanya dalam menjaga keharmonian negeri, mempertahankan kesucian agama Islam, menjunjung kedaulatan undang-undang, serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri Selangor sentiasa terpelihara," kata Shukry yang juga penganjur himpunan berkenaan.
Ketika ditemui pemberita selepas himpunan, Shukry berkata penglibatan golongan muda menjadi asas utama penganjuran program tersebut.

"Masa depan negara ini terletak di tangan anak muda. Sekiranya anak muda menyuburkan rasa cinta kepada institusi diraja dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan serta Islam, kami yakin masa depan yang lebih baik akan tercapai. Kami meletakkan kepercayaan penuh kepada Tuanku Sultan dalam setiap tindakan baginda kerana baginda dipandu kebijaksanaan.
"Kami mendapati sudah ada bibit-bibit yang disebarkan secara halus untuk membenci institusi diraja, sedangkan institusi beraja adalah payung bagi semua kaum dan agama—bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk seluruh bangsa.
"Oleh itu, kami akan bergerak dan pada masa yang sama memerhatikan tindakan-tindakan biadap yang berlaku tanpa berdiam diri. Kami akan bertindak menurut undang-undang serta melaksanakan advokasi secara berterusan," katanya.
Himpunan itu bersurai sekitar jam 6.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Lebih 50 anggota polis beruniform dilihat berada di sekitar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) bagi mengawal keadaan.
