PH Johor hari ini menzahirkan keyakinan mereka untuk mencatat kejayaan sekali lagi dalam pilihan raya negeri (PRN) seperti yang pernah dilakukan mereka dalam PRU ke-14 pada 2018.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, malah menegaskan pakatan tersebut boleh “menguburkan” BN buat kali kedua.
Berucap di Konvensyen PH Kebangsaan di Johor, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah negeri berkata, keyakinan tersebut dibuat selepas Menteri Besar Onn Hafiz itu memberi isyarat jelas bahawa tiada lagi ruang kerjasama politik BN dengan PH.
Katanya, Johor memang merupakan kubu kuat Umno namun keputusan PRU lapan tahun lalu juga menunjukkan parti itu boleh dikalahkan di tempat kelahirannya sendiri.
“Bumi Johor, tempat lahirnya kawan kita dulu (Umno). Pernah suatu masa dulu diumpamakan kita kuburkan di bumi dia sendiri, tempat lahir dia.
“Insya-Allah dalam pilihan raya kali ini, kita akan kebumikan kembali untuk kali kedua,” katanya disambut sorakan hadirin yang hadir.
Hubungan di antara PH dengan BN Johor memang dilihat masih renggang dengan kedua-dua blok saling menghantar isyarat yang mereka tidak senang antara satu sama lain.
Semalam hubungan itu terus renggang ekoran pengumuman BN Johor – yang dibuat sendiri oleh Onn Hafiz – bahawa mereka akan bertanding di semua 56 kerusi DUN apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan nanti.
Keputusan itu bermaksud, tiada lagi kerjasama di antara BN dan PH di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Kali terakhir Johor mengadakan PRN ialah pada 12 Mac 2022. Ketika itu PRN dijalankan berasingan walaupun dalam hampir semua keadaan, ia dibuat bersekali dengan PRU di seluruh negara.
Trauma 2018 masih ada
DUN Johor akan terbubar secara automatik sekitar Disember ini. Namun biasanya kerajaan akan membubarkan DUN lebih awal bagi membuka laluan kepada PRN.
PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.
Aminolhuda berkata dengan perkembangan ditunjukkan BN itu, PH Johor juga bersedia untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Bahkan Ahli Parlimen Sri Gading itu juga menganggap pengumuman Onn Hafiz semalam adalah “laluan” yang diberikan kepada PH untuk membuat keputusan mengenai langkah lanjut mereka dalam PRN.
“Mereka telah berikan laluan, mereka telah buka laluan, mereka telah berikan kata putus, maka kami (PH Johor) tidak akan berundur,” katanya.
Aminolhuda juga menambah BN Johor sebenarnya masih dibayangi trauma dengan kekalahan kali pertama mereka pada 2018 sehingga enggan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya ketika ini ada tujuh kawasan DUN yang mempunyai lebih 100,000 pengundi dengan sebahagian besarnya berada dalam kawasan bandar serta pola sokongan menunjukkan mereka cenderung menyokong PH.

Untuk rekod, isu persempadanan semula kawasan pilihan raya Johor dibangkitkan baru-baru ini selepas DUN negeri itu meluluskan rang undang-undang membawa masuk Adun – sehingga lima orang – tanpa melalui pilihan raya.
Aminolhuda turut mendakwa pengundi Johor sebenarnya lebih cenderung kepada PH jika penilaian dilihat berdasarkan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi gabungan itu.
Ketika ini, katanya, PH kini menguasai 14 daripada 25 kerusi parlimen yang ada di Johor.
“Negeri Johor sebenarnya dikuasai oleh PH,” katanya.
Itu tanda ada pengkhianatan
Dalam pada itu, Aminolhuda turut mengingatkan penyokong PH mengenai pengalaman parti gabungan itu dikhianati ketika pentadbiran PH 1.0 yang hanya bertahan 22 bulan.
“Kita ditikam dalam keadaan baru memerintah 22 bulan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, mengingatkan bahawa kesatuan dalam gabungan itu perlu diperkukuh bagi mengelakkan berulangnya perpecahan dalaman yang disifatkan sebagai “kapal ditebuk dari dalam”.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, PH diibaratkan sebagai sebuah kapal besar yang memiliki kekuatan hasil binaan bersama.
Namun, kata Aminuddin, ia berdepan risiko apabila terdapat pihak yang bertindak keluar atau melemahkan gabungan dari dalam seperti yang berlaku di bawah pentadbirannya.
“Kami di Negeri Sembilan ada sebuah kapal besar. Kapal yang kita bina cukup hebat, besar, kukuh, tak makan badai. Tapi tiba-tiba ada yang rasa tidak selesa, lalu menebuk dari dalam,” katanya.

Aminuddin berkata tindakan tersebut menyebabkan ‘kapal yang sedang belayar’ itu mengalami kebocoran.
Walaupun usaha pembaikan ada dilakukan, katanya, kerosakan tetap berlaku.
“Apabila ditebuk, walaupun kita tampal, tetap ada tanda kebocoran. Itu tanda pengkhianatan,” katanya.
Aminuddin mendakwa tindakan sebegitu berlaku tanpa perbincangan atau permuafakatan, sekali gus mengejutkan banyak pihak.
Aminuddin turut menyifatkan PH perlu menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran menjelang PRN di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Kita kena balik kepada akar umbi. Kita tidak boleh lagi diadu domba, diugut setiap masa,” katanya.
