Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ini namanya kamikaze, tak apa hilang deposit pun - Rafizi
2

Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang dan membawa politik baru di negara ini.

Rafizi berkata parti itu akan meletakkan calon di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri serta tidak akan terikat dengan mana-mana kerjasama politik dengan parti lain.

"Kita tak kira kalau sekarang kerusi PKR, kita akan lawan, kalau kerusi itu DAP, ada keperluan kita akan lawan. Kalau Amanah, Umno, PAS, Bersatu kita akan lawan.

"(Kita) Nak bawa budaya pokitik yang baru, akan taawarkan calon-calon yang baik, dari generasi yang baru, di kerusi-kerusi kita nilai ada peluang dan keperluan, calon-calon muda dan berpengalaman,” kata Rafizi.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian dalam satu majlis ketika mengumumkan halatuju politik terbarunya bersama ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bercakap di hadapan kira-kira 800 penyokong, ucapan Rafizi disambut sorakan dan tepukan apabila dia turut mengajak orang ramai menyertai Bersama serta menyumbang kepada inisiatif pendanaan awam (crowdfunding).

Menegaskan dia dan Nik Nazmi telah merancang perkara itu sejak setahun lalu, Rafizi berkata mereka bersetuju untuk memulakan satu lagi misi yang disifatkannya sebagai “kamikaze”.

“Tiada jaminan kami akan berjaya — saya sedar ada penganalisis berpendapat parti baharu berkemungkinan hilang deposit (dalam pilihan raya),” kata Rafizi.

“Tetapi apa yang mereka tidak tahu ialah kami ini orang gila (dan) kami tidak peduli — sebab itu ia ‘kamikaze’.

“Tak apa jika kami hilang deposit dan orang ketawakan kami. Saya mungkin akan bersara sebagai ‘ahli politik yang gagal’ — ia tidak mengganggu saya,” tambahnya.

"Tak ada jaminan kami akan berjaya, penganalisis cakap pasal itu ini parti baru hilang depositla, dia tak tahu kita orang manusia jenis gila, kami bukan peduli pun, sebab itu namanya kamikaze.

"Hilang deposit dan kerusi orang gelak kat kita, tak apa. Mungkin akan bersara dari politik sebagai orang gagal, well it doesnt bother me (ia tidak mengganggu saya pun)," ujarnya.

Nada sama disuarakan Nik Nazmi yang menegaskan bahawa politik berbilang kaum tidak sepatutnya dihalang oleh “legasi politik lapuk”, sambil menegaskan keperluan kepada kepimpinan yang “ikhlas, berani dan tulen”.

"Saya tahu perjalanan ini bukan mudah, tetapi sejarah tidak pernah dibentuk oleh mereka yang menunggu keadaan menjadi mudah.

"Kepada anda semua, saya ingin katakan: jangan hilang harapan terhadap tanah air kita.

"Perjalanan ini bukan mudah, tetapi ia baru sahaja bermula. Saya tetap yakin dengan rakyat Malaysia, dan kami berharap rakyat Malaysia juga berkongsi keyakinan itu,” katanya dalam ucapan.

Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu turut meminta mereka yang hadir supaya tidak hilang harapan terhadap tanah air ini.

"Jangan biarkan politik dibolot oleh mereka yang mahu anda kecewa. Jangan biarkan masa depan Malaysia ditentukan tanpa suara anda," katanya.

Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan menteri pada Mei tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR.

Rafizi, yang kini disiasat SPRM berhubung perjanjian semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat di United Kingdom, Arm Holdings, sebelum ini pernah mencabar PKR supaya memecatnya selepas parti itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab terhadapnya.

Mengulas keputusan mengambil alih Bersama, Rafizi berkata dia dan Nik Nazmi membuat kesimpulan bahawa satu-satunya pilihan yang praktikal ialah mewujudkan platform baru yang tidak memaksa mereka “berkompromi” terhadap prinsip.

Dia turut memberi bayangan bahawa tindakan untuk menubuhkan parti baru bersiko “tidak akan diluluskan”.

“Untuk daftarkan parti baru tidak akan diluluskan, kita dah tahu kalau daftar takkan diluluskan

“Projek kamikaze dah bermula setahun yang lepas, yang kami buat sejak setahun lepas macam ni: kami daftar beberapa parti baru as decoy, supaya yang duduk di Putrajaya gelakkan kami ohh bodoh punya budak.

“Pada masa yang sama, hiar decoy itu, dia selesa dalam bubble dia, kami teliti parti-parti kecil yang ada di Malaysia lebih kurang 30 buah, bincang kalau ada kesepadanan dalam niat,” tambahnya.

Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada pengasas bersama Bersama, Tan Gin Theam, atas kesediaannya menyerahkan parti tersebut sebagai sebahagian usaha memperbaiki landskap politik negara.

Menurut Rafizi, kepimpinan sedia ada yang mengendalikan Bersama akan terus memainkan peranan masing-masing sementara parti itu memberi tumpuan kepada persiapan pilihan raya, dengan penstrukturan semula parti akan dilaksanakan pada masa sesuai.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis berakhir, Rafizi sekali lagi menegaskan bahawa dia dan Nik Nazmi tidak pernah mempunyai cita-cita untuk mendapatkan jawatan atau ganjaran, sambil menegaskan matlamat utama mereka ialah membawa perubahan demi kebaikan rakyat.

“Secara realistik, pasti ada cabaran dalam mana-mana pilihan raya, tetapi itu tidak akan membunuh idea kami.

“Masalah dengan konsep ‘kuasa kedua atau ketiga’ ialah ia memaksa rakyat memilih antara dua keburukan yang lebih kecil - apa yang penting sekarang ialah kami perlu menawarkan sesuatu yang benar-benar berbeza dan progresif.

“Sebab itu kami berkata kami akan melihat semua kerusi yang ada, selagi kami merasakan terdapat permintaan dan penyertaan kami mampu memberi kesan kepada pilihan raya nasional,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS