Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasib kes rasuah RM2.8 juta Zizie Izette ditentukan 20 Julai
Diterbitkan:  May 18, 2026 12:46 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Julai depan untuk keputusan sama ada Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad disabitkan atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan, hari ini.

"Mahkamah menetapkan 20 Julai untuk keputusan dan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan tambahan pada atau sebelum 9 Jun ini," katanya.

Zizie Izette, isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lepas manakala Bung Moktar memberi keterangan pada 2 Sept 2025 selepas pasangan suami isteri itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 18 Nov 2024, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Zizie Izette, 47, didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran berhujah bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa Zizie Izette, yang didakwa bersubahat dengan tertuduh pertama, Bung Moktar, telah membantu secara ketara dengan menerima wang rasuah tersebut.

Beliau berkata wang tersebut didakwa diterima bagi pihak tertuduh pertama untuk melakukan perbuatan yang berkaitan dengan urusan prinsipal beliau, iaitu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad melabur sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

-- LAGI

MAHKAMAH-ZIZIE IZETTE 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Peguam itu berkata berdasarkan pertuduhan terhadap tertuduh kedua, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa wang rasuah yang didakwa diterima adalah untuk tertuduh pertama bagi membuktikan unsur bersubahat oleh tertuduh kedua.

“Kami berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen penting pertuduhan, kerana semua bukti di hadapan mahkamah menunjukkan RM2.8 juta yang dibayar kepada tertuduh kedua adalah yuran pengenalan yang diberikan secara sukarela oleh SP24 (Madhi) dan SP25 (Norhaili). Tiada bukti bahawa yuran pengenalan tersebut merupakan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah bahawa Zizie Izette tidak menolak pemberian wang RM2.8 juta itu, malah bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa beliau tidak membantah untuk menerimanya walaupun mengetahui ia adalah hasil daripada pelaburan Felcra Bhd ke Public Mutual Investment.

Law berkata tertuduh sepatutnya menolak wang tersebut memandangkan suaminya, Allahyarham Bung Moktar, pada setiap masa material memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Bhd.

"Di peringkat pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab tertuduh untuk mengemukakan atau menjawab kembali pertuduhan dikenakan ke atasnya dengan memberikan satu penjelasan bahawa wang yang diterima oleh tertuduh tersebut secara bersubahat dengan suaminya bukan diterima secara rasuah.

"Bagaimanapun, tertuduh gagal berbuat sedemikian di peringkat ini. Naratif pembelaan tertuduh adalah tidak masuk akal atau tidak logik, sekali gus tidak terjumlah kepada penjelasan munasabah untuk membuktikan beliau tidak bersalah," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS