Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Terima kasih Nik Nazmi’, menteri arah DBKL bantu penduduk Setiawangsa
Diterbitkan:  May 18, 2026 1:04 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berterima kasih terhadap bekas rakan sejawatnya Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengosongkan kerusi parlimen Setiawangsa susulan penyertaan dalam wadah baru Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Yeoh berkata, dia ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Katanya, dia juga telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud memperkukuh peranan DBKL cawangan Setiawangsa bagi menangani isu setempat serta memastikan aduan dan keperluan diberikan perhatian. 

“Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepat tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini,” kata wakil rakyat DAP itu.

Nik Nazmi dan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dijadual mengosongkan kerusi parlimen masing-masing hari ini, susulan pengunduran daripada PKR dan penglibatan dalam Bersama.

Nik Nazmi (kanan) dan Rafizi

Keputusan itu diumumkan semalam, kira-kira setahun selepas mereka  berundur daripada kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim setelah ditolak dalam pemilihan PKR.

Bersatu, yang menggunakan logo kancil–lambang kebijaksanaan–menggariskan 12 agenda ibarat manifesto, yang antaranya melibatkan isu keselamatan sosial, pendidikan, perumahan dan alam sekitar.


Baca: Ketahui agenda, manifesto parti Rafizi, Nik Nazmi


Agenda pertama parti itu adalah untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial yang semua isi rumah berhak menerima bantuan bulanan secara automatik berdasarkan pendapatan isi rumah, umur, dan bilangan tanggungan.

Terus pelihara Bukit Dinding

Sementara itu, Yeoh juga berkata akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha memelihara Bukit Dinding agar kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat.

Nik Nazmi dua tahun lalu, ketika menjadi menteri alam sekitar, berkata sebarang usaha untuk menjadikan Bukit Dinding yang terletak di Wangsa Maju sebagai geotapak perlu mengambil kira faktor teknikal dan saintifik.

Katanya, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun perlu dipastikan bahawa kawasan itu mempunyai warisan geologi yang signifikan, bernilai saintifik serta keunikan tersendiri.

Nik Nazmi dalam demo “Selamatkan Bukit Dinding”

Terdahulu dilaporkan Bukit Dinding merupakan batuan tertua di Kuala Lumpur yang terdiri daripada Syis Dinding dengan usia sekitar 479 juta tahun, melangkaui usia formasi batu kapur dan Syis Hawthornden.

Kajian mencadangkan supaya Bukit Dinding dijadikan geotapak sebagai usaha melestari khazanah ekologi keseluruhan yang masih ada di kawasan hijau itu.

Nik Nazmi berkata pihaknya sedang berusaha untuk mewartakan kawasan Bukit Dinding sebagai hutan simpanan kekal (HSK) bawah Akta Perhutanan Negara 1984 untuk memastikan kawasan itu kekal sebagai paru-paru hijau ibu kota.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS