Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mendakwa mempunyai bukti berasaskan cap masa yang menunjukkan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Sabtu, sekali gus melanggar bon pilihan raya 2022 mereka dengan PKR.
Dia berkata bukti itu menyangkal garis masa yang dirancang kedua-dua mereka bagi mengelak membayar penalti RM10 juta setiap seorang kepada PKR.
Bon pilihan raya itu mewajibkan calon PKR kekal bersama parti sehingga tamat penggal.
Semalam, ketika mengumumkan rancangan mereka untuk melompat ke Bersama, Rafizi dan Nik Nazmi berkata mereka akan menyerahkan peletakan jawatan sebagai ahli parlimen hari ini, sebelum keluar PKR dan menyertai Bersama esok.

Menurut Rafizi, urutan peristiwa itu akan membatalkan bon pilihan raya mereka dengan PKR, yang katanya hanya terpakai kepada mereka yang mengekalkan kerusi.
Bagaimanapun, Fuziah berkata bukti menunjukkan kedua-dua mereka sudah melompat ke Bersama pada Sabtu.
“Saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia, dalam laman web (parti berkenaan) dengan cap waktu 17 hari bulan.
"Kalau ikut dasar perlembagaan parti, maka mereka telah pun melompat parti pada tarikh itu sebelum mengosongkan kerusi (Parlimen) pada hari ini," katanya seperti dipetik Bernama.
‘Disenaraikan sebagai pemimpin Bersama’
Ketika dihubungi, Fuziah mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa bukti yang dimaksudkan merujuk kepada Rafizi dan Nik Nazmi yang disenaraikan sebagai pemimpin Bersama dalam laman web parti itu.
Bagaimanapun, perkara itu tidak bermaksud mereka sudah secara rasmi menyerahkan permohonan keahlian, seperti yang Rafizi katakan akan dilakukannya pada Selasa.

Fuziah berkata penasihat undang-undang PKR akan meneliti perkara itu dengan lebih lanjut sebelum memutuskan sama ada akan menyaman kedua-dua mereka bagi menuntut penalti RM10 juta.
Sementara itu, Fuziah juga dilaporkan media sebagai berkata biro politik PKR akan membincangkan tindakan terhadap semua ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis pelancaran Bersama dalam mesyuarat mereka esok.
Selain Rafizi dan Nik Nazmi, enam lagi ahli Parlimen PKR hadir pada majlis semalam, iaitu Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Laporan tambahan oleh Yiswaree Palansamy.
