mk-logo
Berita
NGO desak kerajaan gantung sijil 'balak lestari' Sirim QAS
Diterbitkan:  May 18, 2026 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

NGO alam sekitar RimbaWatch menggesa kerajaan menggantung sementara Sirim QAS International Sdn Bhd sebagai badan pensijilan yang dimaklumkan bagi industri perkayuan Malaysia, susulan kebimbangan berhubung hak Orang Asli dan kelestarian.

Sirim QAS International ialah anak syarikat Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) Berhad, yang berada bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

RimbaWatch memaklumkan Sirim QAS International ketika ini berfungsi sebagai satu-satunya juruaudit bagi unit pengurusan hutan bersijil yang terlibat dalam Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).

Walaupun MTCS disokong oleh Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC), Sirim QAS International merupakan badan yang mengeluarkan pensijilan MTCS/PEFC bagi tujuh unit pengurusan hutan di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.

Merujuk laporan setebal 68 muka surat yang dilancarkan hari ini berhubung amalan audit unit pengurusan hutan MTCS-PEFC antara 2021 hingga 2024, RimbaWatch berkata dapatan laporan itu menunjukkan amalan audit yang berpotensi mencetuskan kontroversi telah “menjejaskan dengan teruk” kredibiliti pengiktirafan MTCS-PEFC di Malaysia.

RimbaWatch menambah, kayu balak bawah sijil sedemikian berisiko dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia, penukaran hutan semula jadi secara besar-besaran menjadi ladang tanaman sejenis (monokultur), serta kerosakan terhadap Kawasan Hutan Berkepentingan Ekologi (EIFA).

Laporan yang dilancarkan bersama Friends of the Earth - England, Scotland, Wales, dan Ireland Utara itu menganalisis amalan audit berkaitan hak masyarakat peribumi, EIFA dan penukaran hutan.

Menurut RimbaWatch, laporan itu mendapati dalam sekurang-kurangnya sembilan laporan audit merentas pelbagai unit pengurusan hutan, Sirim QAS International gagal mengakui konflik tanah dan rungutan masyarakat peribumi yang “didokumentasikan dengan baik dan dilaporkan secara meluas” berlaku dalam unit-unit terbabit.

Dengan juruaudit didakwa memilih untuk memperakui unit-unit itu, badan pemantau alam sekitar tersebut turut mendakwa juruaudit hanya berhubung dengan “sebahagian kecil” masyarakat peribumi dalam setiap unit.

Selain didakwa membuat usaha terhad untuk melawat komuniti yang membuat aduan dan bergantung terutamanya kepada agensi kerajaan bagi tujuan rundingan dan pengesahan, juruaudit juga dikatakan “menolak” sekatan oleh pembela tanah peribumi.

Mendakwa juruaudit berhujah sekatan sedemikian “tidak selaras dengan keperluan undang-undang”, RimbaWatch berkata semua unit pengurusan hutan yang mengandungi konflik hak peribumi akhirnya diperakui sebagai ‘lestari’.

Kumpulan itu memaklumkan, walaupun piawaian global mewajibkan pengurus hutan mengiktiraf dan menghormati wilayah masyarakat peribumi, juruaudit didakwa menyatakan: “Orang Asli atau masyarakat tempatan tidak mempunyai hak pemilikan ke atas tanah dalam HSK (hutan simpan kekal).”

Selain itu, NGO berkenaan berkata audit pensijilan memasukkan kawasan hutan semula jadi yang diperuntukkan untuk penukaran besar-besaran kepada monokultur (ladang tanaman sejenis) dalam skop pensijilan, bermakna penebangan hutan semula jadi boleh diperakui sebagai “lestari”.

“Selanjutnya, sekurang-kurangnya dua unit pengurusan hutan mungkin melebihi had penukaran lima peratus yang ditetapkan oleh piawaian MTCS-PEFC.

“Juruaudit tidak mengambil kira perkara ini, walaupun lebihan had itu didokumentasikan dalam Laporan Audit Khas Ketua Audit Negara 2022 mengenai Pengurusan Hutan dan Impak Alam Sekitar,” katanya.

RimbaWatch berkata antara 2021 hingga 2024, sekurang-kurangnya 34,260 hektar hutan semula jadi telah ditebang untuk ditukar kepada ladang kayu industri atau ladang hutan dalam kawasan Alam Sekitar Sensitif Tahap 1 yang telah diklasifikasikan pihak berkuasa tempatan sebagai tidak sesuai untuk pembangunan.

Secara berasingan, sekurang-kurangnya 65,000 hektar pembalakan secara umum berlaku dalam Kawasan Pemuliharaan Harimau Kelas I, seperti dikenal pasti dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (2008-2020).

“Ketelusan data perhutanan amat terhad, dengan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan rancangan pengurusan hutan tidak tersedia, tiada pemantauan bebas terhadap ketidakselarasan prosedur dan fakta yang dibuat juruaudit, serta tiada tatacara aduan yang bersepadu,” kata RimbaWatch.

Sebagai maklum balas terhadap dapatan laporan itu, kumpulan berkenaan menggesa MTCS mengiktiraf secara jelas hak adat masyarakat peribumi terhadap wilayah tradisi mereka melangkaui keperluan undang-undang, serta mewajibkan pengurus hutan bertanggungjawab melaksanakan perkara tersebut.

Ia turut mengesyorkan supaya MTCS menamatkan pensijilan bagi semua kawasan yang melibatkan penukaran hutan semula jadi, selain MTCS-PEFC perlu mewajibkan juruaudit bebas daripada pengurus hutan serta kerajaan negeri dan persekutuan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS