ULASAN | Kelelahan politik berlaku apabila rakyat, khususnya anak muda, terpaksa melihat kitaran yang sama berulang kali. Pimpinan silih berganti, tetapi budaya politik, pendekatan dan cara berfikir masih berada dalam kerangka yang lama.
Retorik berubah sedikit demi sedikit, namun cara kuasa diurus, cara parti bergerak dan cara isu rakyat ditangani sering kelihatan hampir sama. Dalam keadaan ini, ramai mula merasakan bahawa politik kehilangan elemen harapan dan pembaharuan.
Antara perkara menarik yang disebut oleh bekas ahli parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai penubuhan Parti Bersama Malaysia (Bersama) ialah usaha membawa “hegemoni baru” dalam politik.
Pada saya, ia bukan sekadar soal menubuhkan sebuah parti baru, tetapi satu cubaan membina naratif, budaya dan arah politik yang berbeza daripada kebiasaan. Cubaan untuk keluar daripada kitaran lama yang dirasakan semakin sukar memberikan nafas baru kepada politik negara.
“Hegemoni” dalam konteks ini boleh difahami sebagai usaha membentuk cara fikir dominan dalam masyarakat. Dalam politik, hegemoni bukan sekadar menguasai kerajaan atau kerusi pilihan raya, tetapi kemampuan menentukan apakah idea yang dianggap normal, relevan dan diyakini rakyat.
Sebab itu penubuhan parti baru biasanya bukan hanya tentang organisasi, tetapi tentang percubaan membina imaginasi politik yang baru.

Menu baru
Dengan konteks anak muda hari ini terutama Gen Z, Gen Alpha dan generasi selepasnya, memang ada kewajaran untuk mewujudkan pilihan politik yang lain sebagai alternatif.
Ramai anak muda tidak lagi melihat politik secara hitam putih atau terlalu terikat dengan identiti kepartian tradisional. Mereka lebih cenderung melihat soal merit, kejujuran, keberanian melakukan perubahan, kemampuan mengurus ekonomi, kos sara hidup dan keupayaan menawarkan masa depan yang lebih baik.
Sewaktu saya bersama pasukan Ajar Demokrasi turun ke sekolah dan program anak muda, rata-rata memang ada kesedaran tentang kepentingan mengundi. Namun cabaran mereka hari ini berbeza berbanding dahulu.
Jika dulu cabarannya ialah bagaimana mahu membawa anak muda keluar mengundi, hari ini persoalannya lebih mendalam: “Siapa yang perlu kami undi?”
Banyak anak muda melihat “menu politik” yang ditawarkan nampak hampir sama. Mereka melihat pertukaran parti dan tokoh berlaku, tetapi budaya politik lama masih kekal. Dalam keadaan itu, ada keperluan untuk “menu” tersebut ditambah baik atau mungkin disediakan pilihan “menu” yang benar-benar baru.
Namun politik bukan hanya soal menang pilihan raya. Politik ialah seni mengimbangi idealisme dan pragmatisme. Kadang-kadang seseorang masuk ke dunia politik dengan cita-cita besar untuk mengubah sistem, tetapi akhirnya berdepan realiti politik dalaman parti, struktur institusi, kompromi kuasa, tekanan ekonomi, sentimen masyarakat dan dinamika nasional yang jauh lebih kompleks daripada teori di atas pentas ceramah.

Cabaran ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Di Turkiye misalnya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Parti) yang dipimpin Recep Tayyip Erdoğan pada awal kemunculannya membawa imej reformis dan sederhana.
Mereka muncul sebagai alternatif kepada politik lama Turkiye yang dilihat elit, birokratik dan jauh daripada rakyat biasa. Dalam tempoh awal pemerintahan, AK Parti berjaya menarik sokongan besar kerana menawarkan gabungan pembangunan ekonomi, identiti nasional dan kestabilan politik.
Namun apabila tempoh kuasa menjadi semakin panjang, AK Parti juga mula berdepan kritikan mengenai pemusatan kuasa, tekanan terhadap pembangkang dan cabaran mengekalkan semangat reformasi awal mereka. Ini menunjukkan bahawa mana-mana gerakan politik yang bermula dengan idealisme akhirnya tetap akan diuji oleh realiti kuasa.
Di United Kingdom pula, Parti Buruh (Labour Party) juga pernah melalui dilema yang hampir sama. Era Tony Blair memperlihatkan bagaimana Labour bergerak ke arah politik yang lebih pragmatik melalui konsep “New Labour”.
Strategi itu berjaya membawa kemenangan besar pilihan raya, tetapi pada masa sama menerima kritikan kerana dianggap terlalu mengorbankan identiti tradisional parti dan idealisme kiri. Bertahun kemudian, kemunculan Jeremy Corbyn pula membawa semula semangat politik yang lebih berasaskan ideologi Parti Buruh dan progresif.
Corbyn menjadi simbol kepada ramai anak muda yang mahukan politik lebih berprinsip, anti-establishment dan berteraskan kebajikan sosial.
Dilema universal
Namun realiti politik pilihan raya di UK juga menunjukkan bahawa idealisme semata-mata tidak sentiasa cukup untuk membina kemenangan yang stabil. Era Jeremy Corbyn misalnya berjaya menghidupkan semula semangat politik progresif dalam kalangan anak muda dan akar umbi Parti Buruh.
Beliau menjadi simbol kepada politik yang lebih berprinsip, anti-establishment dan berorientasikan kebajikan sosial. Namun dalam masa yang sama, Labour juga berdepan konflik dalaman yang panjang, pertembungan antara kem idealis dan pragmatis, serta persoalan sejauh mana pendekatan tersebut mampu diterjemahkan kepada kemenangan nasional yang konsisten.

Akhirnya, Corbyn digantung daripada Parti Buruh dan bergerak sebagai ahli Parlimen bebas sebelum terlibat dalam pembentukan platform politik baru dikenali sebagai “Your Party” bersama beberapa tokoh kiri progresif lain.
Situasi ini menunjukkan bahawa dalam demokrasi moden, ketegangan antara idealisme dan pragmatisme bukan sekadar berlaku di Malaysia, tetapi merupakan dilema universal yang turut dihadapi parti-parti besar di seluruh dunia.
Di sinilah cabaran sebenar bermula. Mengekalkan idealisme ketika berada dekat dengan kuasa bukan perkara mudah, tetapi tanpa idealisme pula politik akan kehilangan arah dan jiwa. Itulah dilema yang sering dihadapi ramai reformis apabila mereka bergerak daripada posisi aktivisme kepada posisi pentadbiran.
Apa pun, semoga berjaya kepada kedua-dua figura ini. Mereka antara pemain politik terbaik yang pernah dimiliki PKR. Sekurang-kurangnya mereka memilih untuk membina sesuatu yang baru daripada sekadar menjadi pengkritik bebas tanpa tawaran penyelesaian.
Politik Malaysia mungkin sedang memasuki satu fasa transisi generasi. Kita boleh bersetuju atau tidak dengan langkah mereka, tetapi kemunculan idea dan platform baharu tetap penting untuk menyegarkan demokrasi.
Seperti kata seorang sahabat saya, ketidaktentuan dan kebisingan adalah bayaran yang perlu ditanggung oleh sebuah negara yang memilih untuk terus mendukung demokrasi.
AMIN MUBARAK merupakan sebahagian daripada Architects of Diversity Malaysia, percaya kepada Malaysia perlu menolak politik perkauman dan kerap memerhati situasi politik di Malaysia.
Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
