Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika mahkamah pilihannya, saya berbesar hati’
Diterbitkan:  May 19, 2026 12:57 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Abdul Munim mengesahkan menerima surat tuntutan guaman (LOD) daripada Mandiri berhubung dakwaan kumpulan anak muda itu menerima dana asing RM1.5 juta daripada sebuah pertubuhan haluan kiri Amerika Syarikat (AS).

Kamil bagaimanapun membayangkan tidak akan memohon maaf seperti dituntut, sebaliknya mempertahankan tindakannya sebagai bukan tekanan terhadap masyarakat sivil, sebaliknya hanya mendapatkan penjelasan yang tersebar.

“Apa yang dibangkitkan adalah tanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan terhadap dakwaan khusus berkaitan penyelewengan yang telah tersebar kepada umum,” katanya.

Dia juga mempertahankan kerajaan yang digambarkan seolah-olah “rejim yang zalim serta menindas”.

Hakikatnya, kata Kamil,  ruang untuk Mandiri dan pelbagai organisasi mengkritik pemimpin mahupun institusi tetap terbuka.

Bahkan, katanya, ruang diberikan jauh lebih baik daripada rejim pemerintah sebelum ini.

Semalam, Ketua Eksekutif Mandiri Amir Hariri Abdul Hadi berkata, LOD bertarikh 18 Mei (semalam) dihantar kepada Kamil Munim melalui e-mel dan serahan tangan dijadual dibuat hari ini.

Mereka memberikan tempoh 48 jam untuk Kamil menjawab dan membuat permohonan maaf berhadapan dan secara terbuka atau berdepan tuntutan saman RM10 juta.

Semalam Kamil mendakwa terdapat laporan antara Nov 2024 hingga Jun 2025 bahawa Mandiri menerima dana dari AS melalui tujuh transaksi kepada Amir dan beberapa individu.

Kamil yang juga setiausaha politik Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mendakwa dana itu mempunyai kaitan dengan gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menggugat kestabilan politik.

Katanya, “sekiranya dakwaan ini benar”, ia adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana Malaysia tidak menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing.

Sementara itu, menulis di media sosial, Kamil juga berkata dia “tiada halangan dan berbesar hati”  menyelesaikan pertikaian itu di mahkamah, walaupun berpendapat tiada keperluan berbuat demikian.

“Saya percaya perkara ini sebenarnya boleh sahaja diperjelaskan melalui penjelasan balas kepada dakwaan yang berlegar.

“Namun jika tindakan mahkamah menjadi pilihan untuk menyelesaikannya, maka saya tiada halangan dan berbesar hati untuk menuruti proses ini dengan sewajarnya,” katanya.

LOD itu disampaikan melalui tetuan Daim & Gamany, kata Kamil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS