Keputusan BN Johor untuk bergerak solo bukan satu pengkhianatan terhadap kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir.
Oleh itu menurutnya, tidak timbul soal BN mengkhianati kerajaan perpaduan seperti didakwa oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Katanya, BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan kerajaan perpaduan pasca pilihan raya ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan.

"Untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir.
"Justeru tidak timbul persoalan BN mengkhianati kerajaan perpaduan. BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, BN menghormati pendirian yang disuarakan oleh BN Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi PRN akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponennya di Johor.
Pada 16 Mei lalu, Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan bertanding secara solo dalam PRN Johor akan datang dengan meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti serta setelah mengambil kira pandangan dan suara rakyat Johor.
Keputusan itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin PH termasuk pengerusinya, Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan menegaskan pakatan tersebut boleh “menguburkan” BN buat kali kedua.
Berucap di Konvensyen PH Kebangsaan di Johor, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah negeri berkata, keyakinan tersebut dibuat selepas Menteri Besar Onn Hafiz itu memberi isyarat jelas bahawa tiada lagi ruang kerjasama politik BN dengan PH.
Katanya, Johor memang merupakan kubu kuat Umno namun keputusan PRU lapan tahun lalu juga menunjukkan parti itu boleh dikalahkan di tempat kelahirannya sendiri.

Hubungan di antara PH dengan BN Johor memang dilihat masih renggang dengan kedua-dua blok saling menghantar isyarat yang mereka tidak senang antara satu sama lain.
Anwar pula ketika berucap pada konvensyen itu berkata, selaku perdana menteri akan memanggil pemimpin PH dalam masa terdekat untuk membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum.
Perkara itu dinyatakan presiden PKR itu susulan keputusan BN untuk bertanding semua kerusi pada PRN Johor akan datang.
Anwar berkata dia telah bersabar dengan karenah yang ditimbulkan oleh Umno, BN
"Tapi saya sebut tadi kalau mereka yang mula melanggar, kita jawab dengan tegas tapi kalau mereka berunding dengan baik, kita kan orang baik dan sabar dan bijak dan mahu selamatkan negara ini.

"Tapi kalau kamu pilih untuk bertempur apa pilihan? Malah dalam tempoh terdekat saya akan panggil pimpinan Pakatan Harapan untuk berunding - bukan sahaja di negeri-negeri ini, malah kita harus berfikir serius.
