Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza pada Selasa mendakwa semua kapal dalam konvoi bantuan itu telah dirampas oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami sedang menunggu maklumat lanjut mengenai penculikan yang menyalahi undang-undang mereka,” kata penganjur flotila itu dalam satu kenyataan di Telegram.

Sambil berikrar untuk meneruskan misi demi Palestin, pihak penganjur menyeru orang ramai supaya “menuntut laluan selamat”.

“Hantar e-mel kepada menteri luar negara anda,” tambah penganjur.

Pasukan pengurusan krisis konvoi itu memaklumkan bahawa tentera Israel telah merampas Lina Al-Nabulsi, kapal terakhir yang masih berada dalam flotila berkenaan.

Penganjur berkata tentera Israel telah memintas sejumlah 50 kapal yang membawa 428 individu dari 44 negara, termasuk 78 warga Turkiye.

Kementerian Luar Israel dalam hantaran di platform X memaklumkan bahawa semua aktivis telah dipindahkan ke kapal Israel dan sedang dalam perjalanan ke Israel. Mereka kemudiannya akan dapat bertemu wakil konsular masing-masing.

Terdahulu pada hari sama, flotila itu memaklumkan bahawa kapal tentera Israel terus menyerang dan menceroboh naik armada bantuan kemanusiaannya di perairan antarabangsa ketika konvoi berkenaan menuju ke Semenanjung Gaza.

Perkembangan itu berlaku ketika tentera Israel melancarkan serangan pada Isnin terhadap konvoi bantuan berkenaan di perairan antarabangsa.

Flotila yang terdiri daripada 54 kapal itu berlepas pada Khamis dari daerah Marmaris di Turkiye dalam percubaan baharu untuk memecahkan sekatan haram Israel yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007.

Ini bukan kali pertama insiden seumpama itu melibatkan flotila berkenaan.

Pada akhir April lepas, tentera Israel menyerang kapal flotila di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete di Greece.

Konvoi itu pada masa berkenaan melibatkan 345 peserta dari 39 negara, termasuk warga Turkiye.

Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang terkepung itu.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS