Naib Presiden JD Vance meyakinkan rakyat Amerika Syarikat (AS) pada Selasa bahawa perang Presiden Donald Trump dengan Iran tidak akan menjadi "perang selamanya", dengan menggunakan taklimat Rumah Putih untuk mempertahankan dasar bosnya ketika spekulasi mengenai bakal penggantinya semakin bertiup kencang, lapor Reuters.
Menggantikan setiausaha akhbar Karoline Leavitt, yang sedang cuti bersalin, Vance menjawab soalan daripada wartawan selama hampir sejam dalam keadaan yang kebanyakannya terkawal, berbeza dengan gaya Trump yang lebih konfrontasi.

Dia enggan menolak kemungkinan menggunakan wang pembayar cukai untuk memberi pampasan kepada individu yang disabitkan kesalahan menyerang pegawai polis semasa serangan 6 Jan 2021 di Capitol AS, menolak kebimbangan Eropah mengenai pembatalan penempatan tentera Washington ke Poland sebagai perkara yang berlebihan, dan menyifatkan cadangan seorang wartawan bahawa pembelian saham Trump baru-baru ini mencetuskan kebimbangan rasuah sebagai "mengarut".
Bilik taklimat Rumah Putih muncul bulan ini sebagai pentas uji bakat tidak rasmi dalam persaingan untuk menggantikan Presiden Donald Trump pada tahun 2028. Kemunculan Vance di podium berlaku kira-kira dua minggu selepas Setiausaha Negara Marco Rubio, kemungkinan bakal pencabarnya, menarik perhatian luas untuk taklimat pertamanya.

"Marco betul, ini benar-benar huru-hara," seloroh Vance ketika wartawan yang memenuhi bilik itu menjerit untuk menarik perhatiannya.
Apabila seorang wartawan merujuk Vance sebagai "bakal calon masa depan", dia segera membetulkannya.
"Saya bukan bakal calon masa depan," katanya. "Saya seorang naib presiden, dan saya sangat menyukai tugas saya, dan saya akan cuba melakukan tugas dengan sebaik mungkin."
Perang Iran jadi medan ujian politik
Vance, 41, bekas marin yang sekian lama menentang penglibatan AS dalam perang asing, pada hari Selasa berkata sebarang ketegangan dengan Tehran tanpa penyelesaian diplomatik akan memenuhi kepentingan keselamatan jangka panjang AS.
"Ini bukan perang selamanya," katanya. "Kami akan selesaikan urusan ini dan pulang."
Konflik Iran berkemungkinan akan membayangi masa depan politik kedua-dua Rubio dan Vance. Sejak ia bermula pada 28 Februari, konflik itu menghentikan sebahagian besar perdagangan minyak global, menyebabkan harga minyak AS melonjak kira-kira 50 peratus dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli Republikan yang mempertahankan majoriti kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini.

Dalam tinjauan pendapat Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada hari Selasa, kadar kelulusan presiden Trump jatuh ke tahap hampir paling rendah sejak dia kembali ke Rumah Putih, dengan ramai ahli Republikan mula tidak berpuas hati dengan cara dia mengendalikan kebimbangan kos sara hidup rakyat Amerika.
Tinjauan itu, yang dijalankan antara 15 hingga 18 Mei, menunjukkan kira-kira 34 peratus rakyat Amerika mempunyai pandangan positif terhadap Vance dan 33 peratus menyatakan perkara yang sama tentang Rubio.
Pada Januari 2025, 42 peratus responden dalam tinjauan pendapat Reuters/Ipsos berkata mereka mempunyai pandangan positif terhadap Vance.
Walaupun kedua-dua mereka memperkecilkan cita-cita 2028 mereka, Trump terus menyemarakkan spekulasi mengenai pengganti itu. Pada majlis makan malam di Rose Garden minggu lepas, presiden itu meninjau pendapat tetamu mengenai kemungkinan penggantinya.
"Siapa suka JD Vance?" soalnya. "Siapa suka Marco Rubio?"
Kedua-dua soalan itu mendapat tepukan gemuruh. Trump berkata gandingan kedua-dua lelaki itu akan menjadi "gandingan yang sempurna" tetapi menambah dia tidak memberikan sokongannya kepada mana-mana daripada mereka.
Kemunculan Rubio baru-baru ini di podium Rumah Putih mendapat pujian daripada Trump. Ahli Republikan dan malah beberapa ahli Demokrat menyedari persembahannya yang lancar, termasuk bergurau bersama wartawan dan rujukan hip-hop tahun 1990-an untuk menggambarkan kedudukan rundingan Iran.
Video Jabatan Negara yang merakamkan kenyatannya yang berharap Amerika akan menjadi tempat "sesiapa sahaja dari mana-mana sahaja boleh mencapai apa sahaja" tular dan mencetuskan spekulasi lanjut mengenai bidaan 2028.
Vance, yang menghabiskan masa beberapa minggu kebelakangan ini berkempen di seluruh negeri termasuk Iowa, Maine dan Missouri serta mengumpul wang untuk calon Republikan, turut bergurau pada Selasa dalam rujukan kepada isterinya, Usha Vance, yang sedang hamil dengan anak keempat mereka.
"Saya beritahu Karoline bahawa saya akan menggantikan dia hari ini untuk taklimat media Rumah Putih dengan syarat apabila Usha melahirkan bayi kami pada bulan Julai, dia pula akan jadi naib presiden selama beberapa minggu," kata Vance.
