Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Biadab' - Pemimpin Umno, Pemuda Amanah, Putra bidas kenyataan Tony Pua
Diterbitkan:  May 20, 2026 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Pemimpin pelbagai parti politik tampil membidas kenyataan veteran DAP Tony Pua yang mengulas saranan untuk membaca dan memahami Rukun Negara.

Kenyataan Pua itu hadir selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi saranan berkenaan kepada bekas Adun DAP Ronnie Liu dan Adun DAP Seri Kembangan Wong Siew Ki.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan Pua bukan sahaja biadab, tetapi umpama "kaduk naik junjung".

"Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap institusi raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

"Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. Umno bersama Tuanku," tulis Asyraf di Facebooknya.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh pula menggesa Umno supaya menamatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) susulan kenyataan Pua itu.

"Cukup-cukuplah kita nak bekerjasama dengan mereka ini. Kalau titah sultan pun sanggup diperlekehkan oleh kerana babi, apa lagi yang lain.

"Keputusan di Johor wajib untuk dilaksanakan ke semua negeri," katanya merujuk keputusan BN Johor untuk bertanding solo di semua kerusi pada pilihan raya akan datang.

Semalam, Pua dalam satu hantaran di Facebooknya mengingatkan bahawa kuasa raja di negara ini adalah terhad kepada aspek tertentu yang telah ditetapkan.

Hantaran Pua itu dibuat beberapa jam selepas Sultan Selangor mengarahkan wakil rakyat negeri itu khususnya Wong dan Liu supaya membawa, memahami dan menghayati Rukun Negara agar menghormati institusi raja.

“Kita mempunyai sistem Raja Berperlembagaan. Kuasa Raja-Raja sedikit berbeza mengikut negeri, namun secara amnya, kuasa baginda adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu yang telah ditetapkan, seperti adat resam Melayu, agama Islam, dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta persetujuan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita tidak hidup dalam sistem di mana Raja boleh mengeluarkan titah perintah yang mengikat dan menggubal undang-undang bagi setiap aspek kehidupan kita," tulis Pua di Facebooknya.

Sementara itu, Presiden Putra Ibrahim Ali mengingatkan pemimpin DAP supaya tidak tunjuk taring dengan menghina sultan.

"Jangan berlindung di sebalik istilah Raja Berperlembagaan untuk memperlekeh titah sultan.

"Amaran keras, jangan gunakan Perlembagaan sebagai lesen untuk biadab. Dalam negara ini, undang-undang, adat dan kedaulatan raja bergerak bersama," katanya dalam satu kenyataan.

Exco Pemuda Amanah Fadhli Umat Aminolhuda turut berkongsi sentimen sama terhadap kenyataan Pua yang dianggapnya sebagai tidak wajar dan biadab.

Bagaimanapun Fadhli berkata dia yakin ia bukan pendirian rasmi DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

"Justeru, saya menggesa agar DAP mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap beliau bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

"Dalam keadaan isu ini sedang sensitif, janganlah ditambah garam ke atas luka," katanya.

Tambahnya, sebagai pemimpin senior, Pua sepatutnya membaca situasi dengan lebih baik serta memahami sensitiviti masyarakat dan institusi negara.

Meskipun Sultan Sharafuddin tidak menyatakan dengan jelas kenapa saranan menghayati Rukun Negara itu ditujukan kepada Wong dan Liu, ia dipercayai susulan kontroversi penternakan babi di negeri itu.

Bulan lalu, semasa perbahasan titah diraja di Dewan Undangan Negeri Selangor, Wong menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan menyatakan bahawa isu itu menyentuh hak kesaksamaan bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Liu pulau mempersoalkan mengapa pemimpin kanan DAP tidak menghadap Sultan Selangor, berunding dengan menteri besar, atau membangkitkan perkara itu di peringkat persekutuan.

Liu, yang keluar daripada DAP pada 2023, berkata isu tersebut melangkaui politik kerana ia memberi kesan kepada penternak lama, rantaian bekalan, harga, serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Kenyataan itu bagaimanapun dilihat oleh pihak tertentu sebagai tidak menghormati istana yang berpendirian Selangor tidak sepatutnya menternak, tetapi mengimport babi, susulan kebimbangan terhadap kebimbangan kesan alam sekitar dan faktor kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS