mk-logo
Berita
Ronnie Liu junjung titah Sultan, lawat Monumen Rukun Negara
Diterbitkan:  May 20, 2026 3:55 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Bekas exco Selangor Ronnie Liu hari ini melawat Plak Monumen Rukun Negara di Shah Alam, kira-kira 24 jam selepas dititahkan berbuat demikian oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Liu, berdiri di situ membuatkan dia sedar dengan kebijaksaaan pengasas negara selepas melalui “saat-saat paling gelap”.

“Kelahiran Rukun Negara itu sendiri berlaku ekoran Peristiwa 13 Mei apabila negara berusaha untuk menghalang konflik perkauman, perpecahan sosial, dan politik ekstremis daripada berulang lagi dengan mewujudkan semangat kebangsaan yang dikongsi bersama.

“Oleh itu, nilai sebenar Rukun Negara bukan sahaja terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat yang dibawa di sebaliknya untuk memastikan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, dan latar belakang budaya dapat terus hidup bersama secara aman, saling menghormati, dan membina masa depan bersama," kata bekas anggota DAP itu dalam satu kenyataan.

Semalam Sultan Sharafuddin menitahkan Adun Selangor, khususnya Wong Siew Ki (Seri Kembangan) serta Liu supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor itu untuk menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda bertitah, mereka disaran hadir seminggu sekali bagi mengimbas kembali sejarah pembentukan Rukun Negara yang tercetus susulan darurat selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menerusi satu kenyataan, baginda menyebut nama kedua-dua individu itu secara khusus agar menghayati kepentingan Rukun Negara, termasuk menghormati institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Mengulas lanjut, Liu berkata semua lima prinsip Rukun Negara merangkumi nilai teras yang penting bagi menjamin kestabilan jangka panjang negara ini yang didiami berbilang kaum.

Katanya, dalam suasana politik semasa yang semakin dipengaruhi emosi dan kecenderungan ekstrem, rakyat perlu kembali kepada kematangan, rasionaliti, penghormatan terhadap institusi dan perpaduan nasional.

“Patutkah masa depan negara ini terus dibina atas kebencian, ekstremisme dan konflik politik yang tidak berkesudahan, atau kita kembali kepada kematangan, rasionaliti, institusi, saling menghormati dan perpaduan?” soalnya.

Justeru, bekas Adun Sungai Pelek dan Pandamaran itu menggesa semua pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang menilai semula sama jika strategi, retorik dan tindakan politik mereka benar-benar menjunjung semangat perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta menyumbang kepada kestabilan masyarakat.

Katanya, kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tamadun, institusi, undang-undang, saling menghormati dan perpaduan sosial.

Liu turut merakamkan penghargaan kepada pengasas negara yang menggubal Rukun Negara, sambil menyifatkan dokumen itu sebagai panduan penting untuk menjamin kestabilan dan kemajuan Malaysia pada masa depan.

Ahli politik berusia 68 tahun itu mengumumkan keluar dari DAP - yang dianggotainya selama 41 tahun - pada 23 Jun 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS