Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua komited bersama kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal'
Diterbitkan:  May 20, 2026 4:37 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Semua parti komponen dalam kerajaan Perpaduan, khususnya BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan komitmen untuk terus menyokong dan bersama kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sehingga berakhirnya penggal pentadbiran.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata komitmen dan sokongan itu dinyatakan pada mesyuarat kabinet hari ini, selepas Anwar pada konvensyen PH baru-baru ini, menyebut mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal.

"Disebabkan beliau (perdana menteri) ada bercakap mengenai soal ini (PRU awal) sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad lalu, beliau ada memaklumkan kepada jemaah menteri mengenai perkara itu.

"Parti komponen dalam kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, jadi komitmen itu diulangi dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

“Komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara sekaligus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat, serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” kata Fahmi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru Ahad lalu, Anwar yang juga pengerusi PH membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.

Cadangan itu sebahagiannya didorong oleh keputusan BN untuk bergerak solo dalam pilihan raya negeri Johor akan datang.

Perdana menteri juga membayangkan PH akan bertanding di semua kerusi di mana-mana negeri yang BN memilih untuk bergerak sendiri.

Sehari sebelum itu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan untuk bertanding solo dibuat selepas berunding dengan kepimpinan Umno, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa BN dan PH akan bekerjasama dalam pilihan raya negeri itu.

Langkah itu mengundang rasa tidak puas hati Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang berkata sebarang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor oleh BN akan dibalas dengan langkah serupa di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi, berkata mesyuarat kabinet hari ini turut dimaklumkan mengenai persiapan untuk sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun depan, susulan tindakan dua ahli Parlimen kerajaan iaitu Rafizi Ramli (Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) yang mengosongkan kerusi masing-masing berkuat kuasa Isnin lalu.

Rafizi yang juga bekas menteri ekonomi dan Nik Nazmi selaku bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam menghantar surat memaklumkan peletakan jawatan masing-masing kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul pada Isnin lalu.

Pada hari yang sama dengan konvensyen PH, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan niat mereka untuk meletak jawatan daripada PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.

Pasangan itu meletak jawatan darlam kabinet pada Mei tahun lalu selepas kalah dalam jawatan parti semasa pemilihan PKR.

Rafizi, yang kini menjadi subjek siasatan SPRM berhubung perjanjian semikonduktor bernilai RM1.1 bilion melibatkan Arm Holdings yang berpangkalan di UK, sebelum ini mencabar PKR untuk memecatnya selepas parti itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS