Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Royal Press Office memaklumkan akaun berkenaan memakai nama “Sultan Ibrahim Ismail” dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap baginda.
Antara kandungan dimuat naik ialah video memaparkan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging khinzir - yang tidak benar - serta menyentuh sensitiviti memandangkan Seri Paduka Baginda adalah Raja Melayu dan ketua negara beragama Islam.
“Royal Press Office turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang amat serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.
“Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya.
- Bernama
