Jawatankuasa Pemuda PKR (AMK) Cabang Pandan didakwa terbubar selepas 19 ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.
Timbalan Ketua AMK Cabang Pandan Muhammad Haqimi Mohd Zamri mengumumkan peletakan jawatannya sekali gus keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta.
Dakwanya, turut mengambil tindakan sama adalah 18 orang lagi pimpinan AMK cabang terbabit dan seorang pengerusi tetap.
“Mereka terdiri daripada seorang pengerusi tetap dan 18 AJK. Daripada jumlah tersebut, 14 individu turut mengumumkan keluar daripada PKR.
“Sehubungan itu, selaras dengan Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK serta Fasal 37.12 Perlembagaan PKR yang dibaca bersama Fasal 32.4, struktur kepimpinan AMK Pandan dengan ini hilang quorum dan terbubar secara automatik,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut Haqimi berkata, perkembangan politik sepanjang setahun lalu telah meningkatkan suhu politik negara bermula dengan pemilihan PKR.
Dakwanya, pemilihan itu dilihat dimanipulasikan untuk menguntungkan pihak tertentu, sehinggalah kepada pelbagai isu nasional yang lebih kritikal termasuk dakwaan rasuah melibatkan kelompok rapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti isu mafia korporat dan lain-lain lagi.
Justeru katanya, mengambil kira perkembangan tersebut, mereka mengambil keputusan untuk terus bersama bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
“Kami amat terkilan apabila terdapat individu yang sebelum ini menumpang kekuatan, pengaruh dan sokongan Rafizi untuk memenangi jawatan dalam parti di Pandan, namun akhirnya memilih untuk ‘menyeberang’ apabila kuasa dan kedudukan mula menjadi keutamaan.
“Lebih mengecewakan, ada yang berubah pendirian selepas kehilangan jawatan ahli majlis, dan ada juga ahli majlis yang dicalonkan sendiri oleh Rafizi untuk memegang jawatan tersebut namun akhirnya bertindak mengkhianati perjuangan,” dakwanya yang juga turut meletakkan jawatan exco AMK.

Terdahulu Rafizi - bersama bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad - pada 17 Mei lalu mengumumkan langkah terbaru mereka dalam politik dengan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis khas di Petaling Jaya dan dihadiri kira-kira 800 penyokong. Parti Bersama Malaysia - atau Malaysian United Party - didaftarkan di Pulau Pinang pada tahun 2016.
Turut diumumkan ialah logo baru parti itu iaitu sang kancil bagi menggantikan logo lamanya.
Rafizi dan Nik Nazmi juga mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai ahli parlimen berkuatkuasa kelmarin.
Sementara itu Haqimi turut memetik satu ayat yang dikatakan terkandung dalam warkah Anwar ketika di penjara suatu masa dahulu yang berbunyi “Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan para penjilat.”

“Hari ini, kami melihat sendiri bagaimana golongan seperti ini semakin berakar dalam PKR dan menjadi budaya yang tidak lagi boleh kami terima.
“Langkah seterusnya kami juga akan menggerakkan lebih ramai anggota akar umbi, termasuk lebih 200 ahli PKR di Pandan, untuk keluar parti dan menyertai Bersama dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan Ketua AMK Pandan Mohd Ifwat Amir Hamirudin berkata dia mengambil maklum kemungkinan terdapat beberapa pimpinan AMK cabang itu akan membuat keputusan untuk meninggalkan parti.
Menurutnya setiap keputusan individu adalah tanggungjawab masing-masing, namun, perjuangan reformasi tidak akan terhenti kerana tindakan mana-mana pihak.
“Perubahan dalam organisasi adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik dan tidak menjejaskan kekuatan asas parti yang dibina atas komitmen anggota serta sokongan rakyat.
“Di Pandan, gerak kerja parti terus berjalan seperti biasa dan fokus kami kekal kepada memperkukuh organisasi serta menyantuni rakyat.
“AMK Pandan akan terus komited mempertahankan Parlimen Pandan dan memperkukuh parti, selari dengan saranan presiden,” katanya dalam kenyataan media.
