Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia boleh kecapi keamanan sebenar tanpa DAP - Dewan Ulama PAS
Diterbitkan:  May 21, 2026 1:33 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya mendakwa Malaysia mampu mengecap keamanan sebenar tanpa kehadiran DAP yang dituduhnya sebagai punca ketegangan kaum dan keretakan dalam kalangan rakyat.

Dia mendakwa parti berlatarbelakangkan cauvinis itu tegar "bertembung" dengan institusi istana meskipun titah sultan telah diulang beberapa kali.

"Kedegilan mereka sebenarnya menjarakkan keharmonian sesama kita selama ini. Kedegilan merekalah menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan.

"Oleh sebab itulah, sebenarnya Malaysia boleh kecapi keamanan sebenar tanpa mereka. Malaysia yang aman tanpa DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walapun tidak menyebut sebarang nama dan kejadian, Ahmad dipercayai merujuk kepada kontroversi yang tercetus semasa perbahasan titah diraja di Dewan Undangan Negeri Selangor, bulan lalu apabila Adun Seri Kembangan. Wong Siew Ki daripada DAP menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan menyatakan bahawa isu itu menyentuh hak kesaksamaan bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dia kemudian dituduh "biadab dan derhaka" kerana mengingkari titah Sultan Selangor yang berpendirian tegas tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Isu itu semakin panas apabila selepas Sultan Selangor pada 19 Mei lalu menasihatkan semua wakil rakyat, khususnya Wong dan seorang lagi bekas pemimpin DAP Ronnie Liu membaca Rukun Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua kemudian menambahkan kehangatan dengan membuat hantaran di media sosial dengan berkata dalam sistem raja berperlembagaan, kuasa raja terhad kepada adat resam Melayu-Islam serta peranan perlembagaan seperti pelantikan menteri besar serta kelulusan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Ahmad dalam kenyataannya, turut mempersoalkan peranan DAP dalam beberapa isu sensitif yang menurutnya menjadi punca negara masih terperangkap dalam polemik perkauman walaupun sudah beberapa dekad mencapai kemerdekaan.

Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pokok Sena itutermasuklah dakwaan bahawa DAP lantang mempertahankan industri arak dan judi, serta memperjuangkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang disifatkannya tidak bertunjang kepada agenda pendidikan kebangsaan.

DAP selama ini mempertahankan hak bukan Islam untuk meminum arak dan berjudi kerana tidak dilarang oleh agama mereka manakala Pakatan Harapan dalam manifestonya juga berjanji untuk mengiktiraf UEC. Pemimpin pembangkang seperti bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini juga pernah menyokong inisiatif tersebut ketika parti mereka bekerjasama dengan PH.

Selain itu, Ahmad turut menuduh DAP mencampuri urusan umat Islam berhubung isu pensijilan halal dan undang-undang syariah, di samping mendesak pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menurutnya boleh melebarkan lagi perpecahan kaum.

Dia juga mendakwa parti berkenaan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai keutamaan negara.

Menurut Ahmad, tindakan pihak terbabit yang tegar memperjuangkan perkara-perkara sensitif berkenaan menyukarkan usaha membina perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa.

“Negara masih terperangkap dalam isu-isu di atas kerana ada pihak yang tegar memperjuangkannya meskipun menyedari isu-isu sedemikian sangat sensitif.

“Justeru, bagaimana kita mahu memikirkan soal yang lebih besar khususnya aspek perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa, sedangkan masih ada pihak yang suka mencarik perpaduan yang dibina sedikit demi sedikit?

“Mustahil,” kata Ahmad lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS