Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan serta komitmen maksimum, untuk mengetuai segala usaha menggunakan hubungan dua hala bagi mendesak pembebasan segera aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, yang diculik dan ditahan Israel.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata komitmen berkenaan, dinyatakan Perdana Menteri kepada SNCC menerusi satu panggilan telefon hari ini.
“Perdana Menteri sedang mengetuai segala usaha bersama Kerajaan Malaysia, menggunakan hubungan dua hala yang akrab serta telah berhubung rapat dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, bagi mendesak pembebasan segera seluruh aktivis yang diculik, dipastikan selamat dan mengelakkan mereka daripada dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya.

Dalam sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di Sepang hari ini, Sani Araby berkata SNCC turut dimaklumkan yang Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa Wisma Putra menggandakan usaha diplomatik bersama Turkiye serta beberapa negara lain.
Ia termasuk membuat persediaan wakil kedutaan di Istanbul, Aman dan Kaherah bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi flotilla kemanusiaan ini.
“SNCC menegaskan insiden penculikan ini turut membangkitkan kemarahan dan kecaman antarabangsa termasuk kenyataan negara serta aksi demonstrasi di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal serta organisasi antarabangsa.
“Mereka juga turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotilla kemanusiaan ini yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya.
Sani Araby berkata SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperhebat solidariti melalui solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik dan advokasi berterusan sehingga seluruh delegasi kemanusiaan dibebaskan.
Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan daripada 40 negara, telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
- Bernama
