Polis merekodkan kenyataan daripada bekas anggota parlimen DAP Tony Pua selepas hampir 80 laporan dibuat berhubung maklum balasnya berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menggesa ahli politik membaca, melafazkan dan memahami Rukun Negara serta Perlembagaan Malaysia dengan teliti.
Dalam satu hantaran di Facebook, pengerusi jawatankuasa disiplin DAP itu berkata dia telah memberikan kerjasama penuh dan menyifatkan dua pegawai yang menyoalnya selama kira-kira 40 minit sebagai sangat profesional.
“Sebagai sebahagian daripada kenyataan, saya mengesahkan bahawa saya menulis sendiri hantaran di Facebook itu, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak lain.
“Apabila ditanya tentang niat hantaran itu, saya menjawab bahawa ia adalah untuk berkongsi pandangan saya tentang Rukun Negara. Apabila ditanya tentang maksud hantaran itu, saya menjawab bahawa ia adalah mengikut apa yang tertulis.
“Mengenai sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut, saya perlu tunggu dan lihat. Mengenai saksi lain yang mungkin diambil kenyataan mereka, saya tidak tanya, dan saya tidak tahu,” katanya sambil berterima kasih kepada mereka yang menyatakan sokongan dan solidariti kepadanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan M Kumar berkata Pua sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) jabatan itu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Kami menerima sebanyak 77 laporan polis setakat ini,” katanya.
Pua mengundang kecaman berhubung hantarannya di Facebook yang berkata, dalam sistem raja berperlembagaan, kuasa Raja-raja Melayu secara keseluruhannya amat terhad kepada aspek seperti adat resam Melayu dan Islam.
Selain itu, katanya, raja juga menjalankan peranan perlembagaan seperti dalam pelantikan menteri besar serta kelulusan untuk pembubaran anggota Dewan Undangan Negeri.
Hujahnya, “kita tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah perintah yang mengikat bagi menggubal semua aspek kehidupan kita,”
“Kita mempunyai parlimen dan Dewan Undangan Negeri, yang terdiri daripada wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan ketetapan sedemikian.”

Kenyataan Pua itu dikeluarkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan semua wakil rakyat, khususnya Adun DAP Wong Siew Ki dan bekas pemimpin DAP Ronnie Liu supaya membaca Rukun Negara.
Ia dipercayai susulan pendirian berbeza istana dan mereka berkaitan kegiatan penternakan babi di Selangor yang ditolak sepenuhnya oleh Sultan Sharafuddin.
