Selepas 18 bulan, dari Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada polis, siasatan berkaitan dakwaan penyalahgunaan visa perubatan kepada warga asing masing disiasat.
Ketika menghubungi, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengesahkan perkara itu–yang dikatakan melibatkan kira-kira 20,000 visa–kepada Malaysiakini.
"AGC mengesahkan bahawa kertas siasatan yang dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Pemalsuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkenaan dengan visa perubatan melibatkan pegawai Imigresen telah diterima pada 27 Nov 2025.
"Walau bagaimanapun, beberapa arahan untuk menjalankan siasatan lanjut telah diberikan pada 9 Jan 2026.
"Setakat ini, kertas siasatan itu masih belum dirujuk semula kepada Jabatan ini bagi membolehkan keputusan muktamad dibuat," kata timbalan pendakwa raya unit jenayah am dan ketenteraman awam bahagian pendakwaan Nor Azizah Aling menerusi e-mel kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi Unit Siasatan Jenayah Pemalsuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk komen dan masih menunggu maklum balas mereka.
EAIC siasat 10 bulan
Pada 15 Okt 2024, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku terkait sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing.
Selepas siasatan lebih 10 bulan, pada 28 Julai tahun lepas, EAIC memutuskan untuk merujuk syor pertuduhan jenayah kepada pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang disyaki terlibat dengan sindiket visa perubatan pada AGC.
Pada 19 Nov 2025, AGC mengarahkan polis membuka siasatan berhubung beberapa pegawai JIM susulan syor EAIC.
Pada Okt 2024, Malaysiakini membongkar dakwaan kegiatan 'ikan besar' yang terlibat dengan sindiket warga asing yang masih tidak disentuh oleh undang-undang.

Malaysiakini turut menyerahkan senarai nama individu yang didakwa terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (atas).
Portal ini juga telah menghubungi JIM sebelum laporan dibuat tetapi tiada sebarang balasan.
