Ibu kepada seorang penuntut Universiti Alexandaria Mesir, Noor Haslina Abdullah kecewa apabila anaknya, Nurul Izzah Afifah Mustapha tidak dapat menduduki peperiksaan kelayakan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) untuk melengkapkan pengajian ijazahnya.
Isteri kepada bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BOK SPRM), Bahri Mohammad Zin itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menolak permohonan anaknya kerana kursus Pharm.D ataupun Doktor Farmasi yang tidak mendapat pengiktirafan di negara ini.
Sedangkan, katanya, anaknya melanjutkan pengajian ke universiti melalui surat tawaran yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Saya benar-benar tak tahu sistem pelajaran jenis apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang ini.
“Anak saya lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM 2020 pada waktu mencabar ketika Covid-19 dan pihak KPT meluluskan pengajiannya dalam bidang farmasi di Universiti Alexandaria, Mesir.
"Pihak universiti kemudiannya telah menaik taraf kurus tersebut daripada Bachelor of Pharmacy kepada PharmD Clinical. Anak saya meneruskan pengajiannya hingga ke tahun akhir di mana keseluruhan pengajiannya mendapat keputusan cemerlang, dan bagi melengkapkan pengajian, anak saya perlu mengambil peperiksaan daripada LFM untuk melayakkannya membuat praktikal di Malaysia Ogos ini serta untuk menjadi ahli farmasi di negara ini.
“Malangnya, badan ini pula tidak meluluskannya dengan alasan kursus Pharm.D ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Noor Haslina berkata anaknya merupakan pelajar cemerlang SPM 2020 dengan mendapat keputusan 10A 2B serta bergelar huffaz (hafazan al-Quran).
BACA: MQA, JPT cari jalan selesai isu graduan farmasi Mesir tak diiktiraf
Jelasnya, anaknya ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Alexandaria yang mendapat pengiktirafan KPT pada 2021.
Namun, katanya, selepas beberapa tahun merantau dalam suasana mencabar untuk mendapat segulung ijazh, anaknya perlu menghadapi kesukaran untuk mendapat pengiktirafan.
Noor Haslina turut memaklumkan yang dia telah membuat rayuan kepada KKM berhubung perkara itu namun ditolak dengan alasan kursus berkenaan tidak diiktiraf oleh LFM kerana tidak disenaraikan dalam jadual kedua Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951.
Dia turut mengadukan perkara berkenaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir namun sehingga kini tidak mendapat jawapan.

Malah, dia juga mendakwa pernah memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Menteri KPT Adam Adli.
"Persoalan saya ialah adakah pihak KPT lepas tangan dan tidak menyelaraskan perkembangan kursus-kursus di universiti berkenaan dengan pihak LFM dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)?
"Saya membuat rayuan ke MQA, KPT dan LFM. Hanya dua jabatan yang melayan dan menjawab rayuan iaitu MQA dan LFM, kedua-dua menjawab tidak dilulus untuk memasuki peperiksaan kerana tidak diiktiraf oleh LFM dan tidak disenaraikan dalam jadual kedua Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951," katanya.
Justeru, Noor Haslina meminta kerajaan supaya mengkaji dasar yang akhirnya menyekat peluang pelajar cemerlang untuk berkhidmat di negara sendiri.
Katanya, dia menyuarakan isu ini bagi pihak ibu bapa pelajar lain yang turut senasib dengannya.
Malaysiakini telah menghubungi Zambry untuk mendapatkan respons.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohammad Shatar Sabran berkata mereka akan mengadakan perbincangan segera bagi mencari penyelesaian terhadap isu graduan farmasi Universiti Alexandria itu.
Mohammad Shatar berkata MQA, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan KKM komited mencari penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang supaya graduan terbabit diiktiraf oleh LFM.
Katanya, walaupun berlaku perubahan nama program, kandungan ilmu atau body of knowledge program tersebut masih berada dalam bidang farmasi.
Justeru katanya, tindakan susulan akan diambil antaranya memperincikan kaedah mengemas kini penamaan baru itu dalam Jadual 1 Akta 371, supaya universiti menghantar permohonan rasmi kepada LFM.
Buat masa ini, katanya, program pengajian di universiti itu diiktiraf dan graduannya boleh memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) namun tidak boleh menjalankan amalan sebagai ahli farmasi.
