Sedikit kekecohan berlaku di pintu utama Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini apabila dua Undang Negeri Sembilan dihalang pihak polis daripada memasuki premis tersebut.
Insiden sekitar jam 9 pagi itu berlaku apabila Undang Luak Johol dan Jelebu tiba untuk menghadiri satu sidang khas bersama pemimpin adat negeri yang lain, dikatakan bagi membincangkan dan menamatkan pertikaian diraja Negeri Sembilan yang berlarutan.
Sumber turut memaklumkan para pemimpin itu dijangka mengadakan satu pengisytiharan rasmi bagi melantik Yang di-Pertuan Besar, menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mereka putuskan untuk dilucutkan jaatan pada April lalu.
Ketika Undang Muhammad Abdullah dari Johol dan Maarof Mat Rashad dari Jelebu menuju masuk ke dalam premis, Ketua Polis Daerah Tampin Amiruddien Sariman bersama beberapa pegawai lain dilihat mengawal pintu masuk dan tidak membenarkan mereka memasuki premis tersebut.
Keadaan ini menyebabkan ahli politik veteran Rais Yatim, yang mengiringi para Undang tersebut, mempersoalkan tindakan polis.
“…anda menghalang orang daripada memasuki premis sebuah institusi yang diberi kuasa di bawah Perkara 18 Perlembagaan Negeri Sembilan.
“Mereka ini ialah Undang Luak Johol dan Jelebu, yang merupakan pembesar negeri. Mereka adalah pemerintah bersama (negeri ini).
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan tanpa sebarang notis. Apa yang anda lakukan lebih teruk daripada komunis. Apakah kesalahan yang kami lakukan di sini? Ini adalah kerabat diraja Negeri Sembilan,” kata Rais kepada pihak polis.
Kekecohan tersebut berlangsung kira-kira 10 minit sebelum Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus, datang ke pintu utama dan bercakap dengan Amiruddien.
Syed Razman memberitahu pegawai kanan itu bahawa dia telah pun bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, yang dikatakan telah mengarahkan polis supaya tidak menghalang undang berkenaan masuk.
‘Yang di-Pertuan Besar baru’ dihalang tinggalkan bilik hotel
Undang Luak akhirnya dibenarkan memasuki premis tersebut, namun mereka terpaksa memendekkan perjumpaan berkenaan kerana ketiadaan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar yang dinamakan sebagai 'Yang di-Pertuan Besar baru'.
Tunku Nadzaruddin, yang telah dinamakan secara terbuka oleh Undang sebagai pengganti Tuanku Muhriz, didakwa dihalang oleh polis daripada meninggalkan bilik hotelnya di Alor Gajah, Melaka pagi ini.
Rais, bercakap kepada pemberita di luar pejabat Tampin kemudian, mengecam polis, menyifatkan ia sebagai "penahanan secara salah".
"Yang di-Pertuan Besar baru ingin meninggalkan hotelnya untuk datang ke sini, tetapi dihalang daripada berbuat demikian.
"Ini sendiri adalah satu kesalahan. Mereka mahu membawanya ke Kuala Lumpur. Atas alasan apa?
"Setiap individu mempunyai kebebasan peribadi mereka, mereka tidak boleh dihalang seperti ini. Dari segi undang-undang, perbuatan sedemikian dipanggil 'false imprisonment'," katanya.
Para Undang dan Rais kemudian bergegas ke hotel berkenaan untuk bertemu Nadzaruddin.
